PAS Kelantan perlu memberi taklimat berhubung pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang akan dibuat di negeri itu, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata, PAS Pusat tidak mengetahui apakah isi kandungan pindaan yang akan dibuat untuk membolehkan pembentangan rang undang-undang persendirian dilaksanakan.

"Saya harap kerajaan Kelantan akan aturkan pertemuan untuk memberi taklimat kepada semua pihak berhubung pindaan ini. Kerana isunya ialah, pindaan pada satu enakmen yang sedia ada.

"Pindaan itu pada enakmen yang sedia ada, bukan buat enakmen yang baru. Enakmen ini sudah berusia kira-kira 20 tahun.

"Jadi saya harap kerajaan Kelantan akan beri taklimat pada mana-mana yang berminat dan saya tawarkan, pada semua yang berminat boleh juga hadir pada sidang DUN itu nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara hari ini.

Selain itu, ditanya sama ada kerajaan Kelantan pernah mengadakan pertemuan dengan pihak Pakatan Rakyat dan PAS Pusat bagi memberi taklimat berhubung pindaan itu, Mahfuz berkata tidak pernah.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya kerajaan negeri Kelantan ingin mengadakan sebarang pertemuan berkaitan pindaan itu, PAS tidak mempunyai sebarang masalah.