Pengumuman keluar parti oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz tidak sedikit pun melunturkan semangat Badan Perhubungan UMNO Kelantan untuk terus berjuang menegakkan panji-panji perjuangan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, perjuangan mereka sejak dahulu, kini dan selamanya adalah untuk Melayu dan Islam serta tidak ada parti lain yang mampu menandinginya.

"Oleh yang demikian, saya dan rakan-rakan dalam Badan Perhubungan UMNO Kelantan akan bangkit dan terus berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.

"Hari ini, UMNO menghadapi cabaran yang paling besar dalam perjuangan apabila kita kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan kehilangan kuasa sehingga menyulitkan kepemimpinan namun jasa parti terhadap pemimpin amat besar.

"Saya percaya dugaan ini akan memberikan hikmah yang amat besar untuk kita kembali bangkit daripada kekalahan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Pada Jumaat, enam ahli Parlimen UMNO mengisytiharkan meninggalkan parti.

Mereka ialah Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, Ahli Parlimen Mersing, Datuk Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ikmal Hisham.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan menegaskan, tidak ada sekelumit pun terlintas dalam dirinya untuk keluar daripada parti malah akan merapatkan saf bersama-sama pemimpin dan ahli UMNO bagi meneruskan perjuangan suci ini.

"Oleh itu, saya memohon kepada semua ahli UMNO khususnya di Kelantan supaua bertenang, bersabar dan beristiqamah dalam perjuangan ini.

"Yakinlah masa depan UMNO masih cerah. Yakinlah kita akan kembali bangkit dan mentadbir negara ini untuk meneruskan agenda membangunkan negara.

"Apa yang pasti, kita harus beristiqamah dan tetap bersama UMNO dalam menghadapi dugaan ini. Insya Allah kemenangan akan menjadi milik kita," jelasnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mengalu-alukan Ikmal Hisham menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekiranya khabar mengenai perkara itu benar.

Menurut Maszlee, dia mengagumi Ikmal sebagai seorang pemimpin yang prihatin dengan kebajikan dan pendidikan rakyat.