Laporan sumber beberapa portal akhir-akhir ini dilihat masih memberi sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.

Sokongan itu disifatkan selari kenyataan media Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang mahu pihak Istana Alam Shah mempertimbangkan nama Wan Azizah untuk jawatan berkenaan.

Malahan ada laporan portal yang menyebut sumbernya merupakan Majlis Pimpinan Pusat PKR turut menafikan menafikan desas-desus bahawa parti itu bersetuju dengan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar baru Selangor.

"Pemimpin tertinggi PKR dalam mesyuarat pada malam Sabtu hanya membincangkan mengenai senario yang mungkin berlaku sekiranya Sultan Selangor benar-benar berhasrat agar Azmin dipilih menjadi MB.

“Keputusan semalam hanya untuk mempertegas pilihan yang dibuat sebelum ini iaitu Wan Azizah sebagai menteri besar,” kata sumber yang dipetik portal berkenaan.

Saifuddin pada Jumaat turut mengakui mesyuarat Biro Politik KEADILAN yang dihadiri semua pimpinan kanan mengambil pendirian bahawa kedudukan sokongan ADUN Selangor seperti yang ternyata sebelumnya menyokong Wan Azizah tidak berubah.

Jelasnya, KEADILAN juga memohon limpah perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menghadap bagi mendapatkan nasihat dan ihsan Sultan Selangor dalam keadaan sokongan majoriti adalah jelas dan tidak berubah.

Sokongan sama turut dilahirkan Koordinator pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jingga13 Selangor, Afzainizam Abdul Rahman yang merayu Sultan Selangor untuk menyelesaikan kemelut Menteri Besar Selangor.

"Kita nyatakan pendirian sokongan kepada Wan Azizah sebagai menteri besar.

"Wan Azizah memperolehi 30 majoriti ADUN seperti mana peruntukan Fasal 53(2)(a) yang mewajarkan atas kebijaksanaan Sultan Selangor melantik Presiden PKR sebagai menteri besar yang baharu serta mengangkat kedaulatan Sultan Selangor yang sangat disayangi rakyat," katanya dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Ujarnya, seluruh rakyat Selangor perlu bertenang dan tidak menimbulkan pelbagai persepsi dan polemik yang akan menjejaskan keharmonian negeri.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, pada Jumaat, sebuah akhbar melaporkan, Naib Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad mencadangkan supaya parti itu menerima keputusan istana sekiranya calon daripada parti itu dipilih menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Abdul Khalid.

Ia disuarakan Dr Mahfodz pada sesi penggulungan di Muktamar Pas ke-60 di Parit Raja.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali ketika dipetik portal Harakahdaily mengesahkan PAS menghantar tiga nama, dua daripada PKR dan seorang daripada partinya sendiri sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu, lapor lidah rasmi parti itu Harakahdaily.

Menurut portal itu, Mustafa bagaimanapun tidak menyebut nama ketiga-tiga ADUN berkenaan.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani sebelum ini memberitahu, Istana Selangor dijangka mengumumkan nama baru Menteri Besar Selangor selewat-lewatnya pada Isnin.