Tindakan segelintir pemimpin parti pembangkang mendakwa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bakal dinaikkan sekiranya kerajaan BN menang PRU14 adalah perbuatan fitnah dan perlu diambil tindakan undang-undang.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, mana-mana rakyat mendengar sendiri dakwaan berkenaan dilontarkan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab perlu segera membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Menurutnya, cadangan menaikkan kadar peratus GST tidak pernah dibincangkan pihak kerajaan dan dakwaan pembangkang boleh diklasifikasikan sebagai berita tidak benar.

“Sebarang cubaan sebar dakyah kadar GST dinaikkan adalah sengaja untuk mengelirukan dan mencemaskan rakyat.

“Yang benar sejak pembangkang ambil alih Selangor, cukai hartanah naik, cukai perniagaan naik, dan cukai lesen naik. Tindakan itu menyebabkan harga barang naik sejak tahun 2008 lagi,” katanya sewaktu menghadiri program mesyuarat agung tahunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia(PBTM) Parlimen Bagan Serai di sini, semalam.

Noor Azmi berkata, rakyat sewajarnya bersikap tabayyun dan mendesak pihak menyebarkan dakyah mengenai GST supaya mengemukakan bukti terlebih dahulu sebelum menerimanya.

“Sudah-sudahlah tabur fitnah takutkan, cemaskan rakyat,” katanya.