Calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands, M. Manogaran mendakwa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengelirukan penduduk Cameron Highlands berhubung isu parkir kenderaan.

Manogaran mendakwa bahawa Wan Rosdy gagal memahami kehendak dan keperluan warga Cameron Highlands dan kegagalan tersebut dapat dilihat menerusi penafiannya berkenaan isu caj parkir Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) yang terbangkit baru-baru ini.

“Menteri Besar Pahang cuba mempertahankan keputusan caj parkir yang tidak munasabah ini dengan menyatakan MDCH akan menawarkan diskaun 25 peratus ke atas mereka yang membayar untuk tempoh lebih daripada sebulan.

“Pada hakikatnya, diskaun 25 peratus hanya ditawarkan untuk pembayaran caj parkir dengan tempoh 12 bulan sahaja, iaitu berjumlah RM720 dan bukan untuk tempoh yang lebih pendek.

“Bayaran bulanan di MDCH sebanyak RM60 sememangnya adalah lebih mahal daripada Daerah Temerloh (RM50) dan Daerah Kuantan (RM52). Adakah Menteri Besar Pahang rasa ini adil kepada warga Cameron Highlands?,” soal Manogaran dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Wan Rosdy dalam suatu kenyataan berkata hanya kawasan yang menjadi tumpuan pelancong sahaja yang dikenakan bayaran manakala penempatan penduduk seperti Lembah Bertam, Habu, Tringkap, Ringlet, Kuala Terla dan Kampung Raja tidak dikenakan sebarang bayaran.