DAP dilihat tidak memahami peranan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang mahu tuntutan perlindungan diberi menerusi caruman terhadap anggota keselamatan tersebut.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, ia sekali gus menunjukkan cadangan tidak bernas parti itu tidak kena pada tempatnya.

"Mungkin pemimpin DAP itu tidak faham antara bekerja dengan tindakan sukarela. RELA ini merupakan gerakan kesukarelawan. Sebab itu jumlahnya besar.

"Kita mempunyai tiga juta rakyat di seluruh negara yang bersedia untuk melakukan kerja-kerja amal seperti mengawal lalu lintas di majlis-majlis kahwin, keselamatan kampung dan taman perumahan, membantu melancarkan perhimpunan-perhimpunan besar rakyat dan sebagainya.

"Takkan tugasan sukarela rakyat hendak disamakan dgn kemudahan bagi mereka yang bekerja secara tetap seperti pengawal keselamatan atau bomba. Jelas pempimpin DAP itu tidak faham perbezaan apa itu RELA dan pengawal di syarikat-syarikat keselamatan," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Biar anggota RELA 'hukum' Shafie

BACA: Rela kesal Shafie Apdal perlekeh fungsi jabatan itu

Bastien mengulas kenyataan Naib Pengerusi Biro Buruh DAP, Amran Ahmad di dalam sebuah portal yang menuntut penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan kebajikan dan perlindungan anggota Rela.

Amran juga mahu anggota RELA mendapat perlindungan atau pampasan yang boleh didapati setelah tidak diberikan perlindungan menerusi caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial).

Dalam pada itu Bastien juga mahu Amran tidak keliru dengan RELA yang disifatkan bukan buruh atau satu pekerjaan.

Tambahnya, cadangan pemberian pencen turut menimbulkan kehairanan daripada seorang yang mempunyai ikatan dan latar belakang Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang kuat.

"Anggota RELA ini mempunyai pekerjaan tetap yang pelbagai. Ada yang bekerja sebagai pegawai bank, berniaga, pensyarah dan sebagainya.

"Kita juga dikejutkan dengan kenyataan memeranjatkan dari pemimpin pembangkang yang menuduh anggota Rela berperanan sebagai 'macai' kepada parti politik UMNO.

"Ianya merupakan satu bentuk penghinaan kepada mereka yang berkorban menganggotai badan sukarelawan terbesar negara," jelasnya.

Tugas RELA kata Bastien, menagih semangat patriotik yang tinggi untuk seseorang individu menawar diri menabur bakti kepada negara melalui platform berkenaan.

"Ini yang menjadi asas pertimbangan dan bukannya untuk menjadi 'macai' kepada mana-mana parti politik.

"Malaysia mempunyai tiga juta ahli RELA yang terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa di seluruh negara.

"Jika diukur risiko yang dihadapi mereka, khidmat bakti yang dicurah sepatutnya diberikan pujian bukannya dihina," ujarnya.

Jelas ‌kini kata Bastien, pemimpin pembangkang tidak menghargai peranan dan tugas kesukarelawan yang digalas anggota RELA.

"Saya cukup malu apabila ada yang sanggup menghina mereka sedemikian rupa walhal anggota RELA sanggup berkorban masa dan tenaga apabila dipanggil untuk melaksanakan sesuatu tanggungjawab.

"Jika kamu tidak berminat untuk berbakti kepada negara, tidak perlulah menghina mereka yang berbangga untuk berkhidmat secara sukarela," tegasnya.

Katanya lagi, pengumuman oleh Ahmad Zahid untuk keterlibatan mereka di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) juga merupakan pengiktirafan kepada angota RELA.

"Kita turut memuji Datuk Seri Ahmad Zahid yang memberikan mereka pakaian seragam walaupuna hanya menjalankan tugas secara sukarela.

"Inilah bentuk bagaimana kerajaan memberikan penghargaan kepada mereka. Kita juga berterima kasih kepada rakyat yang sanggup menjadi ahli RELA.

"Saya berharap anggota RELA di seluruh negara tidak patah semangat tetapi terus bersiap siaga dalam apa jua keadaan kerana negara memerlukan khidmat RELA.

Kepimpinan negara akan terus memangkin semangat kesukarelawan yang tersemai subur di kalangan angota RELA di seluruh negara," jelasnya.