Tindakan kerajaan negeri Sarawak menyekat kemasukan individu tertentu ke negeri ini demi keselamatan negeri, perlu dihormati.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata arahan sekatan itu bukan perkara baharu dan pernah dibuat sebelum ini demi kepentingan keselamatan Sarawak.

"Isu ini (autonomi) sepatutnya dihormati semua pihak," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Pasar Ikan Miri serta beberapa premis perniagaan di sini hari ini.

Turut serta calon Barisan Nasional (BN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.

BACA: Larangan akses ke Sarawak, PKR akui kempen terbantut

BACA: Nurul Izzah tidak dibenarkan memasuki Sarawak

BACA: Saya tidak akan 'merayu' untuk terus berada di Sarawak - Azmin

Salleh berkata isu itu tidak patut dijadikan modal pembangkang untuk berkempen kerana hak imigresen sudah lama termaktub di bawah kuasa Sarawak dan Sabah.

"Mereka (pembangkang) harus menerima hakikat dalam Perjanjian Malaysia 1963 Sarawak dan Sabah mempunyai kuasa termasuk hak imigresen," katanya.

Beliau berkata individu yang terlibat turut diberi ruang untuk membuat rayuan.

Salleh yakin parti pembangkang tidak mengalami sebarang masalah berkempen dengan sekatan terhadap individu tertentu kerana kempen parti-parti yang bertanding dilihat berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden.

Mengenai tinjauan mesra itu, beliau berkata, maklum balas yang diterima adalah positif terhadap calon BN yang bertanding.

Dalam pilihan raya Sabtu ini, Ting yang juga Setiausaha Agung Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) menentang Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling Sie Kiong, yang merupakan penyandang kerusi itu.