Pemimpin DAP diminta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan hanya akan bekerjasama dengan mana-mana Ahli Parlimen PAS yang mahu bekerja bersama mereka.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, seandainya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu menamatkan kerjasama dengan DAP, ia dilihat keputusan parti yang harus diikut semua ahli parti.

"Mana boleh ada kerjasama dengan sesetengah Ahli Parlimen PAS sahaja. Kami semua membawa misi dan visi parti. Sebarang kerjasama dengan parti lain tertakluk kepada Abdul Hadi.

"Hak pengasingan untuk bekerjasama perlu mengikut suara parti. Kita minta pemimpin DAP diam sahaja dari membuat kenyataan mengadakan kerjasama dengan Ahli Parlimen PAS terpilih sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

BACA: PAS sedia tamatkan kerjasama dengan DAP - Hadi

Mahfuz mengulas kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di dalam sebuah portal yang menyifatkan DAP tidak mendapatkan kerjasama daripada Abdul Hadi.

Bagaimanapun jelas Teresa, mereka tetap memberi bekerjasama dengan Ahli Parlimen PAS dan pemimpin lain yang boleh bekerja dengan DAP.

BACA: Kabinet bayangan: Wan Azizah akan bincang dari hati ke hati dengan PAS dan DAP

Dalam pada itu kata Mahfuz, DAP turut diminta bersedia untuk membawa isu itu ke meja perbincangan bersama PAS.

"Kita bersedia untuk duduk dan berbincang agar mendapat kata putus isu ini. Namun jika Abdul Hadi kata tidak akan bekerjasama, ia adalah satu arahan yang harus diturut semua," jelasnya.

BACA: 'Guan Eng, jangan teruskan serangan peribadi!' - PAS

Sebelum ini, Abdul Hadi menegaskan partinya bersedia untuk menamatkan kerjasama dengan DAP.

Abdul Hadi berkata kesediaan menamatkan kerjasama itu dibuat ekoran kenyataan serta tindak tanduk pemimpin DAP yang mahu membentuk Kabinet bayangan tanpa penglibatan PAS dan PKR.

Tegasnya, tindakan DAP itu umpama omongan kosong dan tidak realistik kerana Kabinet bayangan perlu mengambil kira pelbagai perkara dalam perlembagaan negara dan bukan sekadar kepentingan kelompok tertentu.