Pengundi di Kuala Kangsar diminta menjadikan peristiwa hitam ketika pakatan pembangkang memerintah Perak selama 11 bulan sebagai iktibar menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, 18 Jun ini.

Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali berkata sepanjang tempoh itu rakyat mengalami penderitaan akibat pentadbiran kerajaan campuran antara DAP, PAS dan PKR sehingga menyebabkan Perak menjadi kucar-kacir.

"Barisan Nasional (BN) tidak mengalami kekalahan di Parlimen Kuala Kangsar sejak pilihan raya umum pertama diadakan pada tahun 1959.

"Oleh itu, kita harus mengekalkan kemenangan di sini kerana Parlimen Kuala Kangsar merupakan kawasan putih bagi BN," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gerak Kerja Veteran UMNO Perak Bagi Kempen PRK Parlimen Kuala Kangsar, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya akan mengedarkan poster 'Keluargaku Pengundi BN' kepada 4,800 anggota Veteran UMNO Kuala Kangsar untuk dilekatkan di rumah masing-masing sebagai usaha membantu calon BN pada PRK tersebut.

"Ini adalah simbolik tanda sokongan kita terhadap calon BN dan kita akan bekerja habis-habisan untuk memenangkan calon itu," katanya.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah Anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor, yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) 2013, Wan Mohammad Khair-il memperoleh majoriti 1,082 undi untuk menewaskan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas, Datuk Kamilia Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun.