Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Jalaluddin Alias hari ini menafikan desas-desus kononnya beliau akan keluar daripada parti seperti mana yang tersebar dalam media sosial.

Jalaluddin, yang juga Ahli Parlimen Jelebu, berkata beliau tidak pernah merancang, bercadang, berhasrat atau memikirkan mengenai tindakan sedemikian dan masih tetap bersama UMNO.

"Sebagai seorang pemimpin yang lahir dan melalui perjuangan dalam kilang UMNO serta memenangi kerusi Parlimen Jelebu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atas tiket Barisan Nasional (BN) dan UMNO, maka saya tidak akan sekali-kali meninggalkan parti keramat UMNO.

"Saya akan tetap dengan pejuangan dan mandat UMNO dan BN yang diberikan oleh para pengundi dalam Parlimen Jelebu serta tidak akan menghampakan harapan dan mengkhianati kepercayaan diberi oleh rakyat kepada UMNO dan BN melalui saya di kawasan parlimen ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

BACA: Semoga jalan pilihan mereka akan beri kepuasan buat diri mereka - Ahmad Zahid

BACA: Hishammuddin keluar UMNO? Ada lagi yang akan keluar - Bung Mokhtar

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu berkata demikian sebagai reaksi kepada tular mesej di media sosial berkenaan 17 anggota Parlimen daripada UMNO termasuk dirinya akan meninggalkan parti.

"Saya berharap anggota UMNO di seluruh negara bertenang dan tidak terpengaruh dengan berita-berita palsu yang tersebar di media sosial," katanya.

Selain Jalaluddin, turut tersenarai ialah seorang lagi ahli Parlimen dari Negeri Sembilan yang dikatakan akan keluar daripada UMNO.

Bagaimanapun, usaha Bernama untuk mendapatkan penjelasan ahli Parlimen terbabit gagal kerana telefon bimbitnya ditutup.

Semalam, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar daripada parti dan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini pula mengesahkan mengambil keputusan yang sama. -- Bernama