Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunus tiada dalam senarai calon menteri besar Selangor sekiranya sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya merampas negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, lapor The Malaysian Insight.

Selain Jamal, nama Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim juga tiada dalam senarai calon menteri besar Selangor dari BN.

Jamal sebelum ini pernah berkata beliau boleh jadi menteri besar Selangor yang lebih baik berbanding Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebaliknya UMNO Selangor dikatakan menghantar tiga nama iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, Adun Dengkil Shahrom Mohd Sharif dan Adun Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdisebagai calon menteri besar Selangor.

Sumber yang enggan namanya didedahkan itu memberitahu The Malaysian Insight, nama tiga Adun sudah dibincangkan sebanyak empat kali sebelum diserahkan kepada UMNO Pusat untuk dipertimbangkan.

"Kita bincang tiga nama itu saja. Nama Jamal tidak ada," sumber itu dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insight.

Daripada tiga nama yang dicadangkan itu, Mat Nadzari dikatakan paling menonjol kerana kedudukannya yang paling kanan dalam UMNO Selangor dengan memegang jawatan timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor.

Nama Budiman tidak begitu diketengahkan kerana beliau dilihat lebih sesuai jadi calon kerusi Parlimen.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN Selangor tidak akan mengumumkan calon menteri besar sebelum PRU14.

BN yang kehilangan Selangor sejak PRU12 pada 2008 mengunjurkan boleh menang 35 daripada 56 kerusi DUN pada PRU14 nanti. Untuk penggal ini BN menyandang 12 kerusi, Pakatan Harapan 30 kerusi, Pas 13 dan seorang wakil rakyat bebas.