Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia yang diketuai Datuk Jamal Yunos tidak mewakili suara UMNO.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Abd Aziz, sebarang kenyataan Jamal adalah pendirian peribadinya walaupun beliau mempunyai jawatan dalam UMNO.

Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata UMNO mempunyai 198 ketua bahagian termasuk Jamal.

Justeru, adalah tidak adil untuk mempersalahkan semua bahagian UMNO yang ada atas apa yang dilakukan Jamal, terutama sekali apabila dia menggunakan platform NGO miliknya.

"Apa yang Jamal lakukan tidak mewakili pemimpin UMNO. Tindakan satu orang tidak mewakili 197 yang lain. Kenapa asal UMNO sahaja diandaikan begitu, tidak sepatutnya begitu.

"Nombor dua, jangan langgar undang-undang, macam team kuning pijak gambar perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Adakah mereka fikir tidak akan ada reaksi daripada perbuatan mereka? Kenapa mereka fikir mereka boleh buat apa sahaja tetapi apabila orang lain bagi reaksi, tidak boleh?

"Tetapi saya juga mahu jelaskan kalau kita nak bagi reaksi, kita tidak boleh melanggar undang-undang. Kalau reaksi yang dibuat adalah melanggar undang-undang, saya tidak akan sokong perkara itu.

"Contohnya apa yang beliau katakan baru-baru ini adalah satu bentuk hasutan dan saya berpendapat dia perlu disiasat di bawah Akta Hasutan dan tindakan harus diambil ke atasnya," katanya kepada Astro AWANI.


Bagaimanapun katanya, apa yang berlaku sekarang adalah kesan kepada masyarakat yang terlalu mahukan kebebasan.

Menurut beliau, semua kelompok masyarakat meminta kerajaan agar lebih liberal namun mula membantah apabila ia memberi kesan kepada mereka.

Ujarnya, ia satu amalan yang salah kerana kebebasan bukan hanya kepada satu kumpulan tetapi hak milik semua dan perlu diamalkan mengikut batas undang-undang.

Jamal yang juga Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Selangor baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila kumpulan Baju Merah yang diketuainya bertindak ganas terhadap peserta konvoi Bersih.

Polis juga dilaporkan akan menyiasat Jamal berhubung kenyataan berbaur ugutan untuk mengulangi peristiwa berdarah 13 Mei 1969 dan 'parang terbang' jika Bersih 5 diteruskan.

Jamal kini dilapor berada di luar negara.