PADA minggu lepas, pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Samad berkata Pas akan memutuskan sama ada akan membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan di Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau menyarankan agar Pas kekal neutral dan bertanding sendiri pada PRU14.

Kenyataan Iskandar itu munasabah namun selepas difikir secara mendalam, pandangan beliau itu boleh dilihat sebagai menyebelahi satu pihak dan telah terlalu condong terhadap pengaruh parti tersebut di Selangor.

Dalam PRU11 pada 2004, Pas telah bertanding di 21 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mereka telah ditewaskan dengan mudah.

Tahun pilihanraya seterusnya iaitu 2008, pada PRU12, Pas, DAP dan PKR telah bergabung menentang Barisan Nasional. Mereka menawan Selangor dan Pas telah menang lapan kerusi DUN dalam pilihanraya yang digelar tsunami politik ketika itu.

Dalam PRU13 pada 2013, Pakatan Rakyat yang ditubuhkan selepas pilihanraya 2008 telah berjaya kekal membentuk kerajaan di Selangor. Pas memenangi 15 kerusi dan secara tidak langsung menubuhkan kerajaan campuran bersama DAP (15 kerusi) dan PKR (13 kerusi).

Namun nasib tidak selamanya menyebelahi pihak mereka apabila Pakatan Rakyat berpisah setahun selepas PRU13 dan kerajaan negeri Selangor telah mengalami kecacatan politik. Pas dan DAP berentap secara politik namun masih bergerak bersama dibawah kerajaan negeri.

Keadaan ini memberi bukti kukuh bahawa parti pembangkang berkerjasama hanya untuk memiliki kuasa untuk memerintah.

Secara jujurnya, pemerhati politik melihat bahawa DAP merupakan penyumbang terbesar bagi kemenangan berulang Pas di Selangor. Tanpa penyokong DAP, pengundi dari kalangan kaum cina tidak akan sewenang-wenangnya mengundi Pas, parti yang memperjuangkan agama.

Ini bermakna, penyokong-penyokong cina menyokong Pas kerana DAP. Ini juga bermakna bahawa Pas tidak mempunyai apa-apa erti dalam hati mereka, terutama apabila Pas mula berpaling menentang DAP. Tanpa sokongan DAP, bagaimanakah nasib Pas di Selangor?

Buat masa sekarang, Parti Amanah Negara (Amanah), sebuah parti yang ditubuhkan dari pecahan Pas telah mengambil dua kerusi dari Pas dan kini, Pas hanya mempunyai 13 kerusi.

Sekiranya Pas memilih untuk bertanding tanpa kerjasama dengan mana-mana parti pada pilihanraya akan datang, adakah mereka akan mengalami kekalahan teruk atau kembali ke kedudukan asal?

Iskandar berkata bahawa Pas akan memutuskan pihak mana akan diambil selepas PRU14. Tindakan beliau itu tidak difikirkan dengan teliti.

Lihat pada satu sudut yang terbuka. Sekiranya Pas tidak membentuk sebuah pakatan dengan mana-mana parti, parti mereka akan jatuh dan mungkin juga mereka akan kehilangan Kelantan.

Pakatan Harapan tidak mampu bermain-main lagi. Pemimpin Pakatan Harapan haruslah membuat keputusan dalam pertemuan Majlis Tertinggi mereka awal bulan hadapan untuk menentukan siapa lawan dan kawan.

Di Selangor, Pas tidak seharusnya dibenarkan bertindak mengikut kehendak mereka semata-mata. Rasionalnya dalam hal ini adalah, dalam pilihanraya, bermain permainan yang tidak jelas dengan Pas di Selangor tidak akan memberikan faedah kepada Pakatan Harapan.


* Nanyang Siang Pau merupakan sebuah akhbar berbahasa Cina di Malaysia

** Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.