Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris dinasihat untuk segera menukar kepimpinan organisasi itu dahulu sebelum ‎meminta Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan Perdana Menteri dengan apa sahaja alasan yang diberi.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun menegaskan, Irwan seharusnya sedar terhadap kelemahan Perkasa selama ini dan tidak terlalu ghairah untuk mencari populariti murahan daripada isu blog bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Siapa Ketua Wira Perkasa yang suruh Najib turun, sekali gus melepaskan jawatan ini?

"Seharusnya dia gesa semua kepimpinan dalam Perkasa meletak jawatan kerana selama ini tidak menyumbang apa-apa terhadap penyatuan orang Melayu.

"Ini jelas satu publisiti murahan yang menumpang populariti Dr Mahathir," kata Khairul Azwan.

Khairul Azwan mengulas kenyataan Irwan yang menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir selain meminta Najib melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Irwan turut menyatakan Najib gagal menjalankan tugas sebagai pemimpin nombor satu negara selain menyalahkan Perdana Menteri yang tidak menjawab tohmahan Dr Mahathir.

"Jangan pandai-pandai suruh Najib letak jawatan. Tolong sedar diri dan lihat kembali apa yang Perkasa lakukan selama ini.

"UMNO mendapat kembali sokongan Melayu kerana Najib pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu. Itu satu realiti yang tidak boleh dinafikan," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.‎

Dalam pada itu, kata Khairul Azwan, saranan Dr Mahathir disifatkan hak peribadinya selain meminta rakyat menaruh kepercayaan kepada Najib untuk memimpin negara.

"Najib membawa perubahan dengan memperkenalkan dasar yang mementingkan ekonomi rakyat.

"Sepatutnya rakyat negara ini bersatu dan beri peluang kepada Najib untuk meneruskan kepimpinannya," katanya.