Ahli PKR yang cuba menjadi penghasut agar parti keluar dari Pakatan Rakyat (PR) disifatkan menjadi 'musuh dalam selimut' yang menjadi punca pergolakan di dalam parti.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin berkata, golongan ini dilihat tidak mempunyai semangat tokoh terdahulu parti dalam perjuangan membela rakyat.

"Apa gunanya berjuang jika tidak menjaga keutuhan sesama kita di dalam PR.

"Pemimpin terdahulu yang jauh lebih luas pengalaman dalam politik sudah lama memberi teladan tentang kepentingan bersama dalam satu pakatan yang kuat," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua AMK dalam kongres pergerakan itu di sini.

Persidangan Kongres AMK diadakan di Dewan Bankuet, Wisma MBSA sementara persidangan Kongres Wanita bertempat di Stadium Malawati.

Kongres PKR ke-10 hari ini dimulakan dengan Kongres AMK dan juga Wanita Keadilan dan akan diikuti oleh Kongres Pimpinan Pusat pada Sabtu dan Ahad.

Katanya yang juga juga naib presiden PKR yang baru, setiap ahli perlu menyemai sikap tawaduk dan merendah diri untuk mengakui hakikat dan membuat pengubahsuaian.

Jelasnya, ia menuntut tahap keberanian dan disiplin yang tinggi selain menyifatkan tidak ada kebaikan dalam mempertahankan sesuatu hanya semata-mata kerana ego dan bersikap keras tanpa ruang untuk tolak ansur.

"Hakikatnya kita perlu sentiasa ingat bahawa semua kita di dalam parti ini dan parti-parti rakan adalah saudara. Kita bukan musuh. Mungkin ada perbezaan dan persaingan di antara kita, tetapi kita tidak boleh membiarkan wujud permusuhan di antara kita.

"Kita perlu pada setiap masa jelas siapa sebenarnya musuh politik kita. Jangan dibiarkan semangat lawan tetap lawan yang marak di dalam jiwa dihalakan kepada saudara kita sendiri. Jangan sesekali apabila kita tidak bersetuju, maka kita menggerakkan penyokong untuk mengadakan demonstrasi dan memaki hamun pemimpin dan anggota parti yang lain," ujarnya.

Sementara itu, Shamsul turut menyelit permintaan kepada PKR untuk mempertimbangkan calon daripada sayap parti itu bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.

Pada Rabu, ADUN Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou.

Allahyarham merupakan ADUN Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua UMNO bahagian Tumpat selama empat penggal.

Dalam pada itu, Kongres AMK yang sarat dengan agenda antaranya ucapan dasar Ketua AMK dan perbahasan usul dijadual berakhir pada 6 petang.