“Saya tidak mahu dewan ini dijadikan seperti sarkas,” titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan semua Adun supaya menjaga adab dan tatatertib ketika berada dan berbahas di dalam Dewan Negeri Johor.

Selain itu, baginda mahu Speaker Dewan Negeri Johor menjalankan tugas dengan cekap dan tegas bagi memastikan perbahasan dibuat dengan berhemah dan teratur.

“Sekiranya ada ahli-ahli dewan yang bertindak melampaui batas dan melanggar peraturan yang telah ditetapkan, maka arahkan mereka supaya keluar dari dewan ini,” titah baginda.

Sultan Johor juga bertitah akan sentiasa memantau kerajaan negeri dan memberikan nasihat serta pandangan kepada menteri besar dan kerajaan pimpinannya.