Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan supaya tidak mengambil bekas Ahli Parlimen UMNO yang menyertai parti itu bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, menurut penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar, peluang harus diberikan kepada anak-anak muda seperti Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi daripada parti itu.

Katanya, perkara itu juga memberi kesan negatif kepada Armada dan Srikandi yang mahu membentuk anak muda sebagai pelapis pemimpin masa depan.

“Kemasukan mereka (Ahli Parlimen UMNO) ini atas kapasiti apa? Kalau nak perkuat dan bantu orang Melayu saya rasa Armada dan Srikandi boleh terima.

“Tetapi jika masuk untuk pegang jawatan ini akan mengekang peluang anak muda untuk diangkat menjadi pemimpin.

“PRU15 nanti jangan bagi orang yang sama jadi wakil rakyat (Ahli Parlimen UMNO), cukup. Bagi peluang kepada anak muda untuk bertanding dalam PRU15,” katanya ketika dihubungi Astro Awani, pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan, enam Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti susulan hilang kepercayaan kepada pucuk kepemimpinan, diterajui Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Ditanya sekiranya isu ini akan menjadi perhatian ahli Bersatu dalam Perhimpunan Agung Tahunan Kedua Bersatu, Dr Rusdi berkata ia sudah tentu dibincangkan.

“Perkara ini sudah pasti dibincangkan sebab Armada tidak gembira kerana ada pertembungan orang lama dengan orang baru serta beri tekanan kepada pemimpin muda dalam Bersatu,” jelasnya.

Perhimpunan Agung Tahunan Kedua Bersatu diadakan di Pusat Konvension Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula 28 hingga 30 Disember ini.