Naib Presiden UMNO dan juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn menasihatkan semua ahli UMNO terutama penyokong ahli kabinet yang digugurkan jawatan supaya meletakkan kepentingan parti dan negara berbanding kepentingan emosi peribadi.

"Saya minta mereka meletakkan kepentingan parti dan negara melebihi kepentingan emosi peribadi,” kata Hishammuddin ketika ditemui oleh wartawan Astro AWANI di Majlis Pelancaran Pameran dan Persidangan Defence Services Asia (DSA) ke-15 di ibu negara, hari ini.

Hishammuddin turut bertegas semua ahli UMNO terutama penyokong ahli kabinet yang digugurkan jawatan supaya menjadi lebih rasional dan tidak bertindak mengikut emosi.

“Yang penting dalam lanskap politik hari ini ialah kita jangan melatah, kita perlu bertindak rasional dan jangan bersikap emosi ... ini adalah hak Perdana Menteri dan beliau telah membuat keputusan dan patuh dengan apa yang telah diputuskan.

Hishammuddin turut berkata apa sahaja keputusan yang telah dibuat adalah untuk memastikan keselamatan dan lanskap politik negara agar tidak menjejaskan masa depan masyarakat.

“Kita perlu bersikap bijaksana dalam meniti dan menyelami senario politik masa kini,” katanya.

Ketika ditanya soalan berhubung pengguguran Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Hishammuddin ringkas menjawab, “Ya ... ? I don't know the details … sama seperti pandangan saya tadi ini adalah hak Perdana Menteri dan juga keputusan beliau.”

Hishammuddin turut berharap agar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang baru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu dapat menunaikan tanggungjawab dengan baik dan inklusif.

Mengulas berkenaan siasatan 1MDB yang mungkin terganggu akibat pengunduran Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail, Hishammuddin berkata sesuatu siasatan itu bukanlah bergantung kepada individu tetapi kredibiliti sesebuah institusi yang diarah melakukan siasatan.

"Ini berkaitan dengan institusi dan bukan personaliti jadi bila seorang personaliti dilantik untuk menganggotai 'task force' itu, dia mewakili institusi berkenaan.

"Jadi, Tan Sri (Ghani Patail) dalam hal ini mewakili pejabat Peguam Negara dan saya dimaklumkan dan saya tahu juga Tan Sri uzur dan sebab itu beliau buat keputusan sedemikian tapi mempunyai wakil daripada Peguam Negara adalah institusi yang paling layak," jelas Hishammuddin.