Pengundi di Parlimen P.124 Bandar Tun Razak disaran untuk memilih anak jati kawasan itu yang lebih memahami kehendak mereka, daripada memilih orang yang lebih mementingkan agenda sendiri, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berucap di Majlis Minum Petang Perdana Menteri bersama warga Bandar Tun Razak hari ini, beliau berkata, Pakatan Harapan, yang mencalonkan bekas ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar, hanya cuba menjadikan kawasan itu sebagai batu loncatan ke Dewan Rakyat.

“Pembangkang bukan pilih calon untuk berkhidmat, sebab itu dia pindah-randah dari satu kawasan ke kawasan lain, dari negeri ke negeri. Jadi tak boleh pakai orang macam ini. Dia bukan ada hati perut, dia tak ada kasih sayang pada orang di sini,” katanya.




BACA: UMNO pinjam Bandar Tun Razak, pulang semula Wangsa Maju kepada MCA

BACA: #MalaysiaMemilih: Calon PKR mampu pertahan Bandar Tun Razak

BACA: #MalaysiaMemilih: Pas Bandar Tun Razak harap sokongan pengundi Melayu

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut melahirkan rasa geram kerana sudah dua penggal berlalu, dan BN masih gagal merampas kembali Bandar Tun Razak dari tangan pembangkang.

“Geram sebab lain geramnya. Sebab nama kawasan ini nama ayahanda saya (Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak). Macam mana tak jadi (milik) BN lagi, saya tanya kenapa, di mana silapnya,” katanya.

Namun untuk PRU kali ini, Datuk Seri Najib berkata, beliau mempunyai keyakinan tinggi bahawa Bandar Tun Razak akan kembali ke pangkuan BN.