Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak mungkin dipilih menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Itu jaminan diberi Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana pada PRU14, DAP hanya bertanding kira-kira 40 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang ada di seluruh negara .

Menurutnya, dengan jumlah ahli yang sedikit adalah mustahil calon PM dipilih daripada DAP.

"Macam mana dia (Kit Siang) nak jadi PM, bilangan ahli DAP tak ramai, ada 122 kerusi mereka 40 lebih sahaja. Macam mana DAP nak jadi kerajaan dan angkat Kit Siang jadi PM?

"Sekarang DAP sedar, tanpa sokongan lain, DAP tidak boleh kalahkan BN, sebab itu DAP hari ini bukan lagi macam dahulu, dulu semua Cina, sekarang DAP letak calon Melayu, calon Melayu mereka menang, sebab DAP sudah sedar, tiada sebab kita takut," katanya ketika berucap di majlis santai teh tarik bersama kira-kira 300 penduduk di Kampung Tampoi, Krubong, Melaka petang Ahad.

Dalam pada itu beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mengakui DAP menyedari tidak mampu berdiri sendiri tanpa sokongan parti lain.

Beliau juga berkata, DAP juga telah menandatangani perjanjian bagi menghormati Perlembagaan Malaysia sedia ada.