Kenyataan tidak bertanggungjawab oleh pemimpin pembangkang bukan sahaja menjejaskan kestabilan dan ekonomi negara malah boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat berbilang kaum.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pemimpin politk pembangkang lebih cenderung mengeluarkan kenyataan mengelirukan bertujuan memancing perhatian rakyat.

"Mereka buat kenyataan tidak berasas, malah sarat dengan fitnah dan tohmahan berniat jahat bagi memburukkan UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Pemimpin pembangkang menggunakan taktik kotor bertujuan menakut-nakutkan rakyat dengan sengaja memutarbelitkan pelbagai isu semasa.

"Taktik kotor sebegini boleh memberi implikasi negatif kepada rakyat terutama di kawasan luar bandar termasuk mereka yang kurang terdedah dengan maklumat semasa," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Syed Ali berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang mahu ahli politik perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab ketika membuat kenyataan yang boleh menjejaskan kestabilan dan ekonomi negara.

Menerusi laman blog sskeruak.blogspot.my, Salleh berkata ahli politik perlu sentiasa meletakkan kepentingan negara terlebih dahulu, mengatasi perkara lain.

Menurut Syed Ali, taktik memutarbelitkan fakta dan mengeluarkan kenyataan berat sebelah sudah menjadi perkara lumrah dilakukan pembangkang.

"Walaupun faktanya benar, tetapi pembangkang sengaja membuat kenyataan mengelirukan malah ia merupakan pembohongan yang ketara.

"Sebelum ini pembangkang memutarbelitkan beberapa isu seperti isu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), KWSP dan Lembaga Tabung Haji (TH).

"Mereka memberi gambaran buruk kepada rakyat seolah-olah ekonomi negara kini sudah tidak stabil. Ini semua serangan persespi dan fitnah yang sengaja dilakukan menari sokongan rakyat," tegasnya.

Dalam pada itu katanya, pembangkang terutama DAP dan PKR sengaja memberikan gambaran palsu menerusi laman-laman sosial mereka berkaitan beberapa isu untuk menjahanamkan kestabilan politik dan ekonomi negara.

"Saya amat bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan oleh Salleh, perbuatan pembangkang amat tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan mengingatkan pemimpin UMNO supaya meningkatkan gerak kerja di peringkat akar umbi sebagai persedian menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

"Walaupun jaraknya boleh dikatakan masih jauh, tetapi UMNO perlu bersiap siaga kerana sepanjang penantian (tempoh itu), pelbagai kemungkinan boleh berlaku," tegasnya.

"Pemimpin UMNO perlu lebih kerap berinteraksi dengan ahli-ahli termasuk golongan sasaran bagi mengekalkan keyakinan mereka terhadap keutuhan parti.

"Setelah melalui beberapa kemelut dan ranjau, UMNO perlu diperkuatkan semula dengan iltizam bahawa agenda memperkasakan rakyat dan membela nasib orang Melayu harus menjadi keutamaan," katanya.

Jelasnya, soal-soal remah temeh, hasutan kepentingan peribadi dan keluhan kekecewaan perlu diketepikan untuk memastikan perjuangan yang ikhlas selain rakyat terus terbela dan parti kekal relevan.