Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Mohamed khaled nordin menyerahkan kepada keputusan Kerajaan Pusat dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi menentukan kedudukannya sebagai Menteri Besar Johor atau sebaliknya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurutnya, apa yang penting kini adalah memberi fokus sebagai pemimpin yang mengetuai BN Johor untuk memenangi kerusi yang dipertandingkan.

"Sekarang saya ketua, saya akan mengetuai dan memastikan kemenangan BN di Johor. Saya tidak fikir soal jadi menteri besar atau tidak mahupun menteri. Yang penting saya hendak menang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Skim Perlindungan Takaful Rakyat Johor di Pusat Islam, Johor Bahru, di sini.

Tambah Mohamed Khaled, tindakan beliau bertanding dua kerusi pada PRU14 adalah sejarah buat BN Johor tetapi bukan sesuatu yang ganjil.

Malah, ujar beliau, strategi itu adalah bagi memudahkan beliau membawa perjalanan dan hala tuju Johor terus kepada Kerajaan Pusat untuk memastikan segala perancangan berjalan lancar.

Tegasnya, dia juga tidak memilih kerusi luar bandar untuk kapasiti selamat bertanding.

Sebaliknya mengekalkan kerusi DUN Permas yang disandangnya dan Parlimen Pasir Gudang yang pernah diisi dari tahun 2008 hingga 2013.

"Sebagai menteri besar, saya boleh pilih kawasan selamat tetapi saya setia dengan kawasan saya, tidak seperti wakil rakyat lain yang berpindah-randah.

"Saya nak rakyat kawasan saya menilai saya, beritahu saya sama ada saya telah buat yang terbaik untuk mereka. Saya tidak akan lari," katanya.

Selain Mohamed khaled bertanding di dua kerusi, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir turut bertanding di dua kerusi iaitu di Parlimen Lumut dan DUN Pangkor pada PRU14.