Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) wajar diterajui Ketua Pembangkang Selangor bagi meningkatkan lagi keberkesanan sistem demokrasi di negeri itu.

Beliau berkata ini kerana, jawatan ketua pembangkang penting dalam pengurusan negeri sebagai penyemak dan penyeimbang kepada kerajaan negeri dan ia harus dimanfaatkan sepenuhnya bagi memberi keadilan kepada rakyat.

"Langkah kerajaan negeri memberi pengiktirafan terhadap jawatan Ketua Pembangkang adalah usaha untuk memantapkan demokrasi matang di Malaysia di mana peranan pembangkang dalam pentadbiran tidak dipandang serong atau dianaktirikan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamed Azmin mengulas peletakan jawatan Datuk Mohd Shamsuddin Lias sebagai ketua pembangkang Selangor berkuat kuasa serta merta semalam berikutan keengganannya menerima pelantikan sebagai pengerusi PAC Selangor.

Beliau turut kesal dengan peletakan jawatan Mohd Shamsuddin, yang juga ADUN kawasan Sungai Burong dari Barisan Nasional.

Mohd Shamsuddin mendakwa PAC Selangor dimonopoli Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Pakatan Rakyat (PR) selain dilihat lebih berunsur muslihat politik.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis lepas meminda peraturan tetap berkaitan yang mewajibkan ketua pembangkang dilantik sebagai pengerusi PAC dalam usaha memastikan negeri ini dapat terus maju seiring dengan negara-negara maju.