Isu penggunaan wang derma dana politik perlu diperjelaskan dengan lebih terperinci agar rakyat tidak terkeliru istilah akaun peribadi yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Koordinator Unit Perundangan Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata,‎ walaupun akaun itu berbeza dengan akaun amanah, akaun peribadi Najib turut mempunyai beberapa pemegang amanah yang tersendiri.

"Saya rasa pertama faktanya sudah ada. Sebelum ini Barisan Nasional (BN) sudah mencadangkan agar diadakan satu terma mengenai sumbangan dana namun masih tidak dipersetujui DAP.

"Isu ini perlu diperjelaskan, walaupun ia akaun persendirian Najib tetapi ia tetap dijaga beberapa pemegang amanah," katanya semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Razali mengulas kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin yang memaklumkan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Najib adalah dana sumbangan penderma dan bukannya disalurkan oleh syarikat pelaburan yang ditubuhkan Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Kenyataan SPRM turut memaklumkan penemuan berkenaan diperolehi susulan siasatan badan itu ke atas syarikat SRC International selain laporan hasil siasatan berkenaan, dana itu juga sudah dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara.‎

Dalam pada itu kata Razali, UMNO juga perlu segera menjelaskan isu itu kepada ahli parti dan rakyat.

"Di luar sana sudah timbul persoalan dan jenaka. Kita perlu masa untuk menjelaskan kepada umum supaya mereka tahu perkara sebenar. Kita tahu semua ambil berat isu ini," jelasnya.

Pada Selasa, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan derma dana politik RM2.6 bilion yang diterima Najib bukan satu jenayah.

Katanya, undang-undang di Malaysia tidak melarang parti politik untuk menerima sumbangan.‎

Dalam pada itu, bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menggesa SPRM mendedahkan senarai penderma dan jumlah yang diderma daripada RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib.‎

Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor berkata setiap daripada mereka perlu disiasat dan tujuan didermakan dengan jumlah yang begitu besar disalurkan.‎