'Jika menang, calon BN akan jadi Ahli Parlimen Orang Asli pertama'

'Jika menang, calon BN akan jadi Ahli Parlimen Orang Asli pertama'
Mohamad yakin BN mampu mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands walaupun tidak lagi meletakkan calon daripada MIC. -Gambar fail
TANAH RATA: Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands akan menjadi Orang Asli pertama masuk ke Dewan Rakyat sekiranya berjaya memenangi pertandingan empat penjuru itu pada 26 Januari ini.

Timbalan presiden UMNO yang menggalas tugas presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan menyuarakan keyakinan bahawa BN masih mampu mengekalkan kerusi Parlimen itu walaupun tidak lagi meletakkan calon daripada MIC.

"Ini merupakan kali pertama daripada suku kaum Orang Asli diberi kepercayaan untuk bertanding kerusi Parlimen dan Insya-Allah jika menang, beliau akan menjadi anak Orang Asli pertama yang menjadi Ahli Parlimen," katanya kepada pemberita di SMK Tanah Rata pada Sabtu.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyeru pengundi Cameron Highlands memberi kepercayaan kepada calon Pakatan Harapan, M Manogaran.
Katanya, sekiranya Manogaran berjaya masuk ke Dewan Rakyat, perubahan yang diimpikan penduduk Cameron Highlands selama ini akan tercapai.

"Saya harap semua pengundi boleh buat keputusan yang strategik dan bijak dengan memilih calon PH. Kalau boleh lebih baik sekiranya pilih calon PH supaya kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dapat bersama-sama membangunkan Cameron Highlands," katanya.

Awal tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya SPR umumkan pertandingan empat penjuru bagi PRK ini yang melibatkan Manogaran daripada PH, Ramli Md Nor (Barisan Nasional) dan dua calon Bebas, Wong Seng Yee dan Sallehudin Talib.

Hari pengundian awal ditetapkan pada 22 Januari yang akan melibatkan 247 pengundi awal daripada jumlah keseluruhan pengundi iaitu 32,009.

PRK Cameron Highlands diadakan selepas penyandangnya Datuk C Sivarraajh hilang kelayakan bertanding atas tuduhan rasuah.

Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi menewaskan M Manogaran (9,710 undi); Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu, memohon pengisytiharan keputusan PRU-14 untuk kerusi Parlimen itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.



Tag: Cameron Highlands, Suruhanjaya Pilihan Raya, calon Orang Asli, Mohamad Hasan, Lim Guan Eng, Barisan Nasional, pilihan raya kecil, SMK Tanah Rata, Manogaran, Ramli Md Nor, Wong Seng Yee


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.