Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg berkata beliau akan menjawab kritikan mengenai tindakan kerajaan negeri membeli Loji Hidroelektrik Bakun daripada kerajaan Pusat pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya pihak pembangkang telah mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang membayar harga tinggi sebanyak RM2.5 bilion bagi pembelian itu.

"Saya tidak mahu berdebat di akhbar...saya mahu memberikan mereka maklumat terperinci serta apa faedah yang diperoleh daripada pembelian Loji Hidroelektrik Bakun.

"Sidang DUN adalah pentas terbaik kerana pembangkang boleh menyoal saya pada hari itu," katanya dalam sidang media sewaktu lawatan rasmi pertamanya sebagai Ketua Menteri ke Menara Sarawak Energy pada Selasa.

Katanya pembelian loji itu akan meningkatkan bekalan tenaga oleh Sarawak Energy dan akhirnya menjadikan negeri itu sebagai antara kuasa besar bidang itu di negara ini.

Ditanya sama ada pengambilalihan itu telah selesai, Abang Johari berkata ia sudah hampir dimuktamadkan sambil menambah butirannya sedang diperincikan.

Mengenai Empangan Baleh, ketua menteri itu berkata kerja-kerja awal bagi projek itu telah dimulakan.

Katanya, Sarawak Energy telah mengemukakan rancangannya untuk meningkatkan infrastruktur supaya bekalan tenaga setanding dengan pembekal lain dari segi kecekapan membekalkan tenaga.

"Saya meminta mereka mencapai tanda aras seperti Singapura kerana dengan bekalan tenaga seperti itu, saya rasa kami mampu menarik lebih banyak pelabur teknologi tinggi untuk datang ke Sarawak kerana mempunyai tenaga diperbaharui,' katanya.

Abang Johari berkata Sarawak Energy juga memberi taklimat mengenai kejayaan kerjasama mereka membekalkan tenaga kepada wilayah Kalimantan di Indonesia yang memerlukan peningkatan bekalan tenaga.

"Ini bermakna masa depannya adalah baik kerana Sarawak Energy bukan hanya menjadi pembekal tenaga tetapi rakan pembangunan di Borneo, terutama di Kalimantan, Sabah dan kemudian di Brunei," katanya.

-- BERNAMA