Persoalan mengenai Datuk Jumat Idris yang dikhabar meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai parti pembangkang akhirnya terjawab apabila beliau masih kekal setia bersama BN.

Jumat yang juga penyandang kerusi Parlimen Sepanggar mengumumkan khabar tersebut di hadapan lebih kurang 3,000 penyokongnya pada Ahad.

Jelas Jumat, biarpun keahliannya dalam UMNO digantung, beliau tetap utuh dan setia bersama BN dalam memperjuangkan agendanya membangunkan kawasan Sepanggar.

"Setelah saya digantung, pelbagai tohmahan yang saya dengar. Ada yang cakap saya guna duit rakyat, ada yang cakap saya keluar UMNO, namun hati saya masih kuat dengan BN.

"Walaupun saya tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), saya masih akan meneruskan keahlian saya dalam BN sehingga hukuman saya digugurkan.

"Kita harus reda dengan apa yang terjadi kerana perjuangan ini bukan berbentuk peribadi tetapi untuk masyarakat di Sepanggar.

"Bagi saya, 'buanglah yang keruh, ambillah yang jernih' untuk kita menguatkan lagi BN di negeri ini," katanya dalam sidang media Program Doa Selamat dan Kupi-kupi Sempena PRU14 di kediaman rasminya di Likas, di sini, pada Ahad.

Sementara itu, Bendahari UMNO Pusat, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan Jumat sebagai seorang pemimpin yang tulen dan sejati.

Jelasnya, terdapat perbincangan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung proses mengembalikan semula keahlian Jumat dalam UMNO.

"Pihak kami telahpun berbincang dengan beliau (Najib) dan beliau telah menelefon sendiri Jumat berhubung isu ini.

"InsyaAllah, saya akan membawa isu ini ke peringkat kepimpinan parti untuk mempertimbangkan isu ini. Bagaimanapun, ia perlu mengikut prosedur tertentu," kata Salleh.

Dalam pada itu, calon BN Sepanggar, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata keputusan yang dibuat Jumat adalah berdasarkan semangat kekeluargaan yang kuat terhadap parti BN.

"Saya akan bekerjasama dengan Jumat seperti mana sebelum ini. Saya tidak ada masalah dengan beliau dan kami akan memastikan kemenangan BN di Sepanggar," katanya.

Jumat digantung keahlian sejak tahun 2015 sebagai Ketua UMNO Bahagian Sepanggar dan tidak dibenarkan menyertai sebarang aktiviti yang dianjurkan oleh parti tersebut.