Kabinet Sabah akan menyaksikan dua kementerian baharu akan diwujudkan dalam usaha melonjakkan lagi pentadbiran dan pembangunan dalam pelbagai bidang di negeri itu.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau juga akan mengumumkan barisan penuh Kabinet Sabah dalam waktu terdekat.

"Berilah saya sedikit masa lagi untuk membincangkan perkara ini, dalam masa dua tiga hari ini saya akan umumkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa FCAS Sabah Yang Ke-5, di Teluk Likas, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah Tan Sri R. M. Jasni serta isteri Ketua Menteri, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Ditanya mengenai reaksi beliau ketika menghadiri program pertama selaku Ketua Menteri Sabah, beliau menyatakan rasa bersyukur dan berjanji akan melakukan yang terbaik untuk berbakti kepada rakyat Sabah.

"Saya rasa amat bersyukur dan saya juga akan memastikan bahawa kesatuan seluruh rakyat di negeri ini akan terus diperkukuhkan," katanya.