Kad laporan seseorang anggota parlimen adalah rujukan terbaik untuk pengundi menilai prestasi wakil rakyat mereka sebelum membuat pemilihan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap Pengarah Latihan Akademi Keadilan, Fuziah Salleh, anggota parlimen yang terpilih semula sebagai calon sewajarnya dinilai berdasarkan kad laporan prestasi kerana ia mengandungi maklumat terperinci semua perbahasan dan isu yang dibawa oleh seseorang wakil rakyat terbabit.

“Kad laporan anggota parlimen adalah satu pangkalan data yang memperlihatkan prestasi seseorang anggota parlimen sama ada mencapai Indeks Pencapaian Utama (KPI) atau tidak sebagai seorang anggota parlimen yang dipilih rakyat,” katanya kepada Astro AWANI.

Jelas Fuziah, KPI seseorang anggota parlimen diukur berdasarkan prestasi mereka di parlimen sebagai penggubal dasar, keberkesanan menyelesaikan masalah rakyat, membahaskan sesuatu dasar, penggubalan undang-undang dan polisi negara.

Kad laporan prestasi anggota parlimen ini juga mampu menepis persepsi salah masyarakat berhubung tugas sebenar wakil rakyat kerana ia tidak boleh diukur menerusi sebanyak mana majlis atau kenduri yang dihadiri atau banyak mana sumbangan berbentuk material dan kewangan yang diberikan kepada pengundi.

“Sebaliknya, prestasi Anggota Parlimen perlu dinilai berdasarkan penglibatan mereka di parlimen dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat menerusi penggubalan dasar-dasar yang memudahkan kehidupan rakyat selain sebagai elemen semak dan seimbang kepada pemerintah,” katanya.

Bagi Fuziah sendiri, menyedari kepentingan kad laporan prestasi itu, pihaknya sedang berusaha menyediakan laporan tersebut untuk dijadikan rujukan oleh pengundi sepanjang 10 tahun menjadi Anggota Parlimen Kuantan di bawah PKR.

“Pengundi di Kuantan boleh menilai prestasi saya sepanjang menjadi Anggota Parlimen yang dipilih mereka dari segi isu-isu yang dibahas di Parlimen merangkumi alam sekitar, pendidikan, perumahan selain penggubalan dasar-dasar untuk kepentingan semua penduduk Kuantan,” jelasnya.

Fuziah mengalahkan calon MCA, Datuk Fu Ah Kiow pada PRU12 dan berjaya menewaskan calon UMNO, Datuk Mohamed Suffian Awang pada PRU13 lalu.