Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menduduki carta tertinggi sebagai pilihan popular pengundi di Selangor bagi menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara itu didedahkan dalam satu kaji selidik yang dikendalikan Institut Darul Ehsan (IDE) terhadap persepsi pengundi di negeri itu.

Undian responden mengenai calon UMNO yang layak menggantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib memulangkan keputusan ini. - Foto sumber IDE

Soalan dikemukakan kepada responden: "Pemimpin UMNO yang menjadi pilihan untuk menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak?"

Populariti Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan mendahului Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, namun dengan kelebihan undian tipis, hanya 1 peratus.

Daripada sejumlah 1,761 orang responden yang ditemui secara bersemuka, 32 peratus responden memilih Hishammuddin sebagai Perdana Menteri, manakala 31 peratus memilih Ahmad Zahid.

Menariknya, dalam analisis sokongan kepada ikon politik di Malaysia itu, Ahmad Zahid lebih popular dengan pengundi berusia 51 hingga 60 tahun dan ke atas, manakala Hishammuddin popular dengan pengundi dalam lingkungan usia 31 hingga 50 tahun.

Pemimpin ketiga paling popular khususnya dalam kalangan pengundi muda (21 hingga 30 tahun) ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dengan 28 peratus responden yang berpendapat Ketua Pemuda UMNO itu sebagai pemimpin paling layak menjadi Perdana Menteri seterusnya.

Ini diikuti Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamad (6 peratus) dan pemimpin UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa (4 peratus).

Kajian dijalankan dari 26 hingga 30 Ogos 2016 di seluruh negeri Selangor.