Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kajian sesetengah pihak yang menyatakan sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) menurun adalah tidak tepat.

Sebaliknya, Dr Mahathir berkata PH masih mendapat dokongan rakyat berdasarkan reaksi yang diterima.

“Saya sedar ada pihak katakan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan telah menurun daripada 80 peratus kepada 38 peratus.

“Saya tidak tahu dari mana mereka membuat kajian ini tapi yang saya tahu, saya sendiri banyak orang bersalam nak ambil gambar. Mana-mana kita pergi ada orang nak bersalam dan ini bukti sokongan masih ada.

“Tetapi bila ada satu kajian seolah olah itu pendapat semua pihak. Kita (PH) berpendapat bahawa ia tidak tepat, sokongan kepada kerajaan masih kuat,” kata beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan.

Tambahnya, meskipun terdiri daripada gabungan lima parti, namun PH masih kekal sebagai kerajaan dalam membuat keputusan yang diterima semua pihak.

“Tentang masa depan parti, kita percaya prestasi PH pada ketika ini masih didokong oleh rakyat. Disamping itu, kita perlu berjaga jaga agar sokongan ini tidak merosot,” tambahnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Temu Rapat Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Parti Warisan Sabah (Warisan) di Shah Alam pada Ahad.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu serta Ketua Penerangan WARISAN, Datuk Dr Yusof Yaacob.