Menyedari keadaan kesihatan diri yang tidak begitu mengizinkan, Mursyidul Am Pas Hashim Jasin pada awalnya tidak berhasrat menjadi calon pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Bagaimanapun, atas kehendak parti, beliau akur apabila dicalonkan untuk kerusi Parlimen Arau.

“Saya tak bercadang untuk bertanding, tetapi selepas nama saya diputuskan oleh Majlis Syura Ulama, maka saya akur,” katanya kepada Astro AWANI ketika satu pertemuan dengan penyokong Pas di sini.

Ditanya mengenai pertembungan dengan penyandang dari Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Shahidan Kassim, Hashim berkata, ia tidak menjadi satu masalah.

“Bagi saya, kalah atau menang bukan keutamaan. Perhitungan utama bagi kami ialah, penyertaan di dalam pilihan raya itu sendiri merupakan satu kejayaan.

“Jadi, jika saya tolak, bermakna saya tidak masuk dalam penyertaan pilihan raya,” katanya yang genap 79 tahun pada Ogos.

Selain Hashim dan Shahidan, turut bertanding di Arau ialah bekas professor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr Rahman Daud dari Pakatan Harapan.