Gabungan di antara Barisan Nasional (BN) dan Pas sebenarnya tidak banyak membantu Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Menurut Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul, dari segi logiknya, majoriti kemenangan masih setara berbanding jumlah semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013 dahulu.

Ujarnya, gabungan BN dan Pas tidak kuat dan tidak mampu memberi kesan secara langsung terhadap pakatan pembangkang itu.

"Persoalannya, di manakah penyokong-penyokong Pas yang dikatakan dapat memberi kelebihan kepada Mohamad Hassan untuk meraih majoriti yang lebih besar berbanding yang terdahulu?" soalnya.

Kalau sebelum ini, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu mampu meraih majoriti 4,613, tetapi dalam pilihan raya kecil (PRK) Rantau ini majoritinya mengecil sehingga ke 4,510.

"Dalam pilihan raya kecil itu Datuk Mat (Mohamad) dapat 10,397, Dr S Streram dapat 5,887, (oleh itu) majoritinya ialah 4,510 berbanding majoriti Tok Mat dapat pada PRU13.

"Jadi angka-angka ini menunjukkan sokongan kepada Tok Mat tidak bertambah, walaupun ada sokongan mungkin daripada parti Pas, namun saya mengaku Tok Mat ada 'base' yang sangat kuat.

"Dia menjadi menteri besar tiga penggal tetapi sokongan kepadanya tak kekal kepada 10,000 lebih dan saya yakin kita telah buat yang terbaik dan memperkenalkan sorang calon yang baik," katanya.

Kata Johari lagi, kemenangan BN di DUN Rantau lebih bersifat sokongan peribadi kepada Mohamad Hassan itu sendiri dan bukannya bermakna sokongan terhadap PH semakin merosot.

Menurutnya, sokongan terhadap Mohamad Hassan mempunyai asas yang kukuh kerana beliau menerajui kepimpinan Negeri Sembilan selama 15 tahun.

"Sokongan terhadap PH masih kuat cuma mereka gagal menjawab beberapa isu," katanya lagi.

Keputusan rasmi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam menyaksikan calon Mohamad Hasan memperoleh 10,397 undi menewaskan calon PH, Dr S Streram dengan majoriti 4,510 undi selepas pakar bius itu hanya memperoleh 5,887 undi.

BACA: Tok Mat kekalkan kerusi DUN Rantau

Dua calon Bebas iaitu R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin pula masing-masing mendapat 83 dan 79 undi.

Johari menambah, kemenangan Mohamad sebenarnya sudah dijangka kerana sentimen pengundi terhadap bekas menteri besar Negeri Sembilan itu masih kuat.

Dalam masa sama, katanya kerjasama UMNO dan Pas yang mengangkat sentimen perkauman turut mempengaruhi rakyat khususnya orang Melayu.