Jangan mimpi nak tawan Putrajaya kalau terlalu setia dengan parti.

Itu ingatan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu ahli gabungan pembangkang itu bersatu dan menyokong satu sama lain jika mahu menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Jelas Dr Mahathir tidak menjadi kesalahan untuk setiap ahli menunjukkan kesetiaan kepada parti namun apa yang penting ketika ini ialah bergerak dibawah satu gabungan yang kuat bagi menzahirkan kemenangan lebih besar.

"Masing-masing mempunyai kesetiaan mereka kepada parti mereka ini perkara biasa, kita lihat Amanah tentu utamakan Amanah, Bersatu, DAP dan Keadilan perlu tonjolkan parti masing-masing.

"Tetapi kalau kita terlalu sangat pegang kesetiaan pada parti kita, kita tak boleh bersatu kalau nak bersatu kita belakangkan sedikit parti-parti kita dan utamakan Pakatan Harapan," jelas calon perdana menteri PH berusia 93 tahun itu.

Sementara itu, mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang, Dr Mahathir berkata, walaupun akan wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli PH ,beliau berharap semua ahli akan bersetuju dengan keputusan pimpinan tertinggi kelak.

"Apa guna jadi calon tapi kalah, sebaliknya kalau pun tak dapat jadi calon di kawasan kita, tapi kita sokong calon yang dipilih Pakatan Harapan besar kemungkinan kita akan sampai ke Putrajaya," tambah Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan sekitar 2,000 penyokong di Konvensyen Pakatan Harapan Pulau Pinang 2018 di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Ahad malam.

Pada konvensyen itu, Pakatan harapan negeri tidak mengumumkan secara rasmi mengenai pembahagian kerusi DUN sekaligus menguatkan lagi khabar angin bahawa PH di Pulau Pinang masih gagal mencapai kata sepakat dalam pembahagian kerusi.

Difahamkan, sebanyak 11 kerusi DUN yang merupakan majoriti pengundi Melayu ketika ini menjadi rebutan antara Amanah, PPBM dan PKR.