”Saya dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengalu-alukan mana-mana individu berniat bertanding di Bagan Datuk dan Pekan."

Demikian ulasan ringkas namun penuh mencabar oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditanya mengenai pendiriannya berhubung cadangan bagi Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai lokasi bertanding Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Katanya, terdapat kemungkinan bahawa keputusan untuk bertanding di luar Selangor adalah disebabkan oleh jangkaan kerusi yang dipertahankan buat masa ini sedang mengalami kekalahan.

“Itu sebabnya mencuba nasib untuk kawasan lain, dan kita tahu di kawasan yang beliau wakili itu banyak permasalahan yang sudah menjadi rungutan kepada rakyat.

“Saya harap, sebelum berniat untuk berpindah kawasan sila lakukan pembaikan perkhidmatan terutama dari segi kemudahan-kemudahan asas kepada pengundi-pengundi yang diwakili,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menyempurnakan Program Perasmian 3 Buah Pusat Internet Satu Malaysia (Bagan Datuk), Pusat Internet 1 Malaysia, Kg Teluk Buloh, Hutan Melintang, dekat sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga ingin mengulas lanjut sebarang kenyataan mengenai pemiihan Azmin Ali yang dipercayai akan bertanding di Bagan Datuk atau Pekan.

“Kenyataan pemimpin ini mana boleh main-main, kita tahu, dia (Azmin Ali) main-main sahaja itu, dalam politik tidak boleh main-main," ujarnya lagi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Gombak merangkap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), dilaporkan sedang dalam pertimbangan untuk bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk yang kini disandang oleh Timbalan Perdana Menteri dan Parlimen Pekan yang kini diduduki oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.