Emosi dan kemarahan memuncak di sebuah forum anjuran Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA) mengenai krisis Menteri Besar yang melanda negeri Selangor, apabila peserta forum bertajuk ‘Krisis Selangor: Khalid Ibrahim Belot Pakatan Rakyat?’ itu, terlibat dalam pertengkaran mulut.

Lebih 50 orang peserta forum tersebut yang rata-rata tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Disiplin PKR petang Sabtu yang mengambil tindakan memecat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari parti itu, bertambah marah apabila integriti Abdul Khalid dipersoalkan oleh seorang ahli PKR.

Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip, yang berkata beliau tidak berpuas hati dengan fakta mengenai Abdul Khalid yang dikemukakan di forum tersebut, bertanya mengapa Menteri Besar Selangor itu banyak membuat keputusan yang melanggar manifesto parti.

Sejurus soalan itu ditanya kepada panel forum tersebut, desakan untuk Rozan Azen menutup mulutnya dilaungkan oleh peserta forum yang lain sehingga ada yang menghampirinya dengan langkah yang ganas.
Selepas seruan untuk bertenang dibuat oleh penganjur dan Rozan Azen kembali ke tempat duduknya, forum itu diteruskan.

Namun, semasa penjelasan kepada beberapa soalan yang dikemukakan oleh peserta dibuat oleh panel forum tersebut, Rozan Azen mencelah dan bertanya soalan-soalan yang dilihat seperti menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini menyebabkan peserta forum tersebut melaungkan sokongan mereka kepada Abdul Khalid dimana ada di antara mereka menunjukkan sepanduk yang bertulis kata-kata seperti ‘Rakyat tetap sokong TSKI’ dan ‘Rakyat Selangor akan balas dalam PRU’.

Malah, salah seorang peserta forum itu tampil ke hadapan dan berkata, “Kami mahukan Menteri Besar yang ada integriti, bukannya Menteri Besar boneka.’

Presiden Pakatan Anak Selangor Sokong Menteri Besar (PASSMEB), Mazli Saring, yang merupakan salah seorang daripada panel forum itu, semasa menjawab soalan Rozan Azen, berkata isu Menteri Besar ini telah dipolitikkan.

“Ramai orang tidak suka orang yang tidak pandai politik. Anwar Ibrahim pakar politik Malaysia. Dia kata Abdul Khalid tidak bantu ahli-ahli parti dan negeri Selangor.

“Selama lima tahun pentadbirannya, setiap ADUN mendapat RM1.1 juta peruntukan. Kalau 56 ADUN dapat RM1.1juta, sudah RM63 juta setiap tahun. Ini kali lima sudah berapa?

“Wakil rakyat dapat gaji yang banyak. Siapa kata kerajaan negeri tidak bantu?” tanya Mazli yang juga merupakan ahli PKR.

Eksekutif Komunikasi Pejabat Menteri Besar Selangor, Shazni Munir Mohd Ithnin yang juga merupakan salah seorang daripada panel forum itu berkata tuduhan ke atas majikannya perlu ada bukti yang jelas dan fakta yang betul.

“Beban pembuktian perlu kuat. Kena siasat dengan jelas. Jangan buat tuduhan melulu. Kami dari pejabat Menteri Besar Selangor telahpun membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai tuduhan-tuduhan ini.

“Kami bersedia untuk disiasat dn pintu kami sentiasa terbuka. Siasatlah kami,” katanya.

Abdul Khalid dipecat dari PKR pada Sabtu, sebagai ahli seumur hidup berkuatkuasa serta merta.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, keputusan itu telah dibuat pada Mesyuarat Pimpinan Pusat (MPP) selepas meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan kes disiplin dan tatatertib terhadap Abdul Khalid.

Tan menjelaskan bahawa Abdul Khalid didapati mengingkari keputusan MPP yang bermesyuarat pada 21 Julai yang sebulat suara memilih Presiden PKR Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail.