Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan berharap BN Sarawak akan kekal bersama BN namun menyerahkan hak menentukan hala tuju parti komponen tersebut kepada mereka.

“Keputusan sebegini hanya boleh dilakukan oleh BN Sarawak.

“Ditambah pula, situasi politik di Sabah dan Sarawak menunjukkan satu pola yang berbeza berbanding Semenanjung. Ia terpulang kepada parti di sana untuk menentukan keputusan terbaik.

“Namun kita mengharapkan mereka kekal bersama dengan semangat susah dan senang bersama dalam BN,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Beliau juga berkata formula BN perlu dikaji semula tidak kira BN Sarawak memilih kekal atau sebaliknya.

“Sistem atau formula BN itu sudah diancam kerana yang memegang paling banyak kerusi selain BN Sarawak adalah UMNO. Hanya tiga kerusi milik parti komponen lain.

“Sama ada BN Sarawak ada atau tidak, ia harus dikaji.

“Jadi saya berpendapat itu adalah perkara pertama perlu di semak semula,” jelasnya lagi.



Spekulasi BN Sarawak keluar dari BN timbul apabila BN gagal membentuk Kerajaan Pusat buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Keputusan muktamad BN Sarawak ditentukan dalam sidang mesyuarat BN Sarawak pada 12 Jun ini.

Pada PRU 14, BN Sarawak menang 19 kerusi parlimen selebihnya, dikuasai PH sebanyak 12 kerusi.