UMNO Bahagian Kepong hari ini menyuarakan sokongan kepada Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden bagi Pemilihan UMNO yang akan datang.

Ketuanya, Datuk Rizuan Abd Hamid mendakwa penyandang jawatan nombor dua parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi mempunyai sokongan daripada ahli-ahli parti itu sendiri.

"Orangnya beragama, saya jadi hairan. Bapaknya dahulu seorang yang disanjung tinggi tetapi anaknya baru dua tahun dua bulan menjadi timbalan Perdana Menteri tapi tidak setia kepada bosnya iaitu Perdana Menteri. Tidak ada semangat setiakawan. Bolehkah dia menjadi Presiden UMNO atau Perdana Menteri?

"Saya rasa kalau dia (Muhyiddin) lawan jawatan Timbalan Presiden, dia akan kalah awal-awal lagi. Mana ada penyokong! Yang kita nak sokong adalah Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, bakal timbalan presiden UMNO.

"Saya janji UMNO bahagian Kepong akan calonkan beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO kerana kelayakan beliau, kesanggupan beliau, pergi ke hulu ke hilir untuk mempertahankan Najib dari serangan puak-puak Yahudi terutama yang mahu menjatuhkan kerajaan Malaysia melalui pintu belakang," tambah beliau ketika memberi ucapan aluan pada Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Kepong di Hotel Hilton, KL Sentral, Kuala Lumpur pada Ahad.

Beliau juga mendesak Muhyiddin supaya berehat daripada terus mempersoalkan isu 1Malaysia Development Berhad dan isu derma RM2.6 billion yang diterima Najib.

"Mereka ini makin dipecat, makin garang. Pergi merata bahagian, perasmian bahagian, mempersoalkan 2.6 bilion ini," ujarnya lagi.