Kedudukan dan kewibawaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus mendapat sokongan teguh daripada Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) walaupun ketika ini pucuk pimpinan dilemparkan dengan tohmahan dan fitnah yang memburukkannya.

Hal itu dinyatakan Ketua Pemuda DPPWP, Khairil Nizam Khirudin dalam sebuah kenyataan media merujuk kepada perkembangan semasa terutamanya selepas Sidang DUN Kelantan meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) baru-baru ini.

“Pelbagai asakan oleh rakan pakatan Rakyat supaya beliau menarik balik pembentangan tersebut di Parlimen sehingga mengugut untuk berpecah daripada PR, akan tetapi beliau tenang menghadapinya,” ujarnya.

Menurut Khairil Nizam, DPPWP melihat terdapat pelbagai tanggapan negatif daripada rakan-rakan Pakatan Rakyat sedangkan PAS secara telus telah membentangkan dan meluluskan enakmen itu melalui saluran demokrasi iaitu melalui Sidang DUN.

“Kami teguh di belakang Presiden kami. Kami sedar dan maklum Presiden kami seorang yang alim dalam ilmu Islam bahkan berpengalaman luas dalam politik dan menjadi ahli Parlimen Dan Adun sejak 1980-an lagi.

“Tambahan pula, PAS memiliki Majlis Syura Ulama yang sememangnya masyhur dengan ahlinya faqih (arif) dalam hal ehwal Islam,” ujarnya yang juga menyatakan solidariti bersama Abdul Hadi sekiranya rang undang-undang berkenaan dibentangkan di Parlimen nanti.

Tambah Khairil Nizam, DPPWP membuka ruang seluas-luasnya kepada rakan Pakatan Rakyat iaitu Pemuda Sosialis DAP Malaysia (DAPSY)dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) untuk berdialog bagi mencari jalan titik temu.

“Kita boleh bertindak untuk setuju untuk tidak setuju (agree to disagree) atas dasar yang tidak sama. Mengapa sekarang tidak?” ujarnya.

Khairil Nizam turut memetik beberapa peristiwa dan perkembangan sejak kebelakangan ini yang dlilihat menjadi bukti ketokohan Abdul Hadi.

Pertama adalah kelulusan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah oleh Sidang DUN Kelantan yang turut disokong ADUN Barisan Nasional dan mendapat restu daripada Sultan Kelantan.

Kedua adalah kejayaan PAS mengekalkan kerusi DUN Chempaka dengan pertambahan majoriti, dan ketiga, adalah penganjuran Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke-3 di Masjid Tok Guru, Rusila, Terengganu.

“Kehadiran delegasi pelbagai pimpinan gerakan Islam seluruh dunia merupakan manifestasi ketokohan dan kewibawaan Abdul Hadi dalam meneladani ummah,” kata Khairil Nizam.