Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedia berbincang mengenai isu calon Perdana Menteri walaupun parti telah menyatakan pendirian mengenai perkara itu sebelum ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebarang cadangan baharu tidak harus dijadikan mainan politik peribadi mana-mana tokoh.

"Keadilan juga kekal dengan pendirian bahawa mandat rakyat mesti dipulangkan ke tempatnya pada kadar segera, dan dalam bentuk yang telah diberi oleh rakyat kepada Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum ke-14 termasuk dalam isu peralihan kuasa dari Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

BACA: Shafie sebagai PM, Anwar dan Mukhriz calon TPM 1 dan 2 - Tun Mahathir

BACA: Pencalonan Shafie 'permainan' Tun Mahathir, kata Pemuda Pakatan Harapan Sabah

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR juga berpendirian bahawa kerjasama antara parti dalam Pakatan Harapan mesti diperkukuh.

"Pada masa yang sama, kami mengingatkan agar semua pihak sentiasa berwaspada dan jangan terperangkap dengan sebarang usaha atau langkah yang direncana untuk melagakan parti-parti di dalam Pakatan Harapan, seperti mana yang pernah dilakukan terhadap Keadilan sebelum ini," ujarnya.

Justeru katanya, PKR dan Pakatan Harapan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku Pilihanraya Umum ke-15 lebih awal dari 2023.

Pada Sabtu, Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan cadangan menamakan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri turut dipersetujui beberapa pemimpin kanan Pakatan Harapan lain.

Dalam siaran langsung di Facebook rasmi beliau, Dr Mahathir berkata, persetujuan itu dicapai dalam satu pembincangan tidak formal pada 25 Jun lepas di Rumah Tamu Sabah, Kuala Lumpur, antara Shafie, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Pengerusi DAP Tan Kok Wai, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Sumber Facebook KeadilanRakyat