Seramai 60 orang ahli UMNO, termasuk pimpinan cawangan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang, menyertai Pas hari ini atas alasan kecewa dengan parti itu.

Mereka termasuk Ketua Wanita UMNO Cawangan Setar Baru Khadijah Samat, Ketua Pemuda Cawangan Setar Baru Mohd Sohaimi Razali dan AJK Cawangan Setar Baru Abdullah Samat.

Majlis penyerahan borang penyertaan menjadi ahli Pas diserahkan kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di kediaman rasmi beliau di sini petang ini.

Turut menyertai mereka ialah 30 ahli PKR Gua Musang diketuai Ketua Ranting PKR Ladang SEDC Wan Mohd Emran Wan Zulkifli dan Ketua Ranting PKR Kampung Baru Setar Hassan Idris.

Mereka mendakwa, kumpulan itu merupakan pelopor kerana lebih ramai ahli UMNO dan PKR di kawasan mereka akan turut mengambil langkah bersama dalam perjuangan Pas Kelantan mempertahankan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mereka juga mengakui kecewa melihat UMNO yang didakwa sudah lari dari perjuangan, serta sikap pemimpinnya yang dilihat lebih mementingkan diri dari membela nasib orang Melayu.

Pada Jun tahun lalu, kerusi DUN Nenggiri diisytiharkan kosong berikutan penyandangnya Datuk Mat Yusoff Abdul Ghani dari Barisan Nasional hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas diisytiharkan muflis.