Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah tidak akan dibubarkan jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat, kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, tiada keperluan untuk pembubaran DUN kerana kerajaan negeri berada dalam keadaan kukuh serta pentadbirannya berjalan lancar di semua peringkat.

"Kalau berlaku pilihan raya di peringkat Parlimen, kita bersedia untuk hadapinya. Bagaimanapun, di negeri kita tiada masalah (tiada keperluan bubar DUN). Kita ada kerajaan yang kukuh dengan 23 kerusi manakala pembangkang (13).

"Kalau Parlimen bubar, kita hadapilah (PRU-15). Tapi di Kedah, kita akan jalan (pentadbiran) macam biasa. Saya tidak rasa negeri perlu ikut (bubar DUN) dalam keadaan kita stabil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program 100 Hari Pentadbiran Menteri Besar Kedah di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain Kedah, kerajaan di beberapa negeri lain seperti Terengganu, Kelantan, Perlis, Pahang dan Perak juga dilihat kukuh dan tidak perlu membubarkan DUN.

Ditanya adakah beliau bimbang jika PRU-15 diadakan dalam tempoh terdekat, Muhammad Sanusi menegaskan sebagai orang politik, mereka tidak takut berhadapan pilihan raya.