Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mungkin dapat jejaskan sokongan teguh rakyat Sarawak kepada kerajaan.

Malah kata Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, kehadiran Dr Mahathir ke Bumi Kenyalang itu mamberi impak buruk kepada pembangkang secara keseluruhannya.

“Saya difahamkan 8,000 orang hadir dengar ceramahnya semalam. Sebelum ini pada 2013 jumlahnya lebih ramai daripada itu, tetapi sebaliknya undi majoriti saya semakin meningkat,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Hari Sungai Sedunia sempena perhimpunan bulanan kementeriannya di Jabatan Pengairan dan Saliran di sini hari ini

Rakyat Sarawak katanya sedar dan masak dengan ‘penipuan’ Dr Mahathir yang didakwanya tidak pernah mengambil berat tentang Sarawak ketika menjawat posisi Perdana Menteri, begitu juga Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menjadi timbalannya.

“Sarawak sama sekali diketepikan semasa pentadbiran Dr Mahathir dan Anwar.

“Saya masih ingat ucapan Anwar ketika merasmikan jejambat pertama di Kuching, katanya mahu beri separuh bilion untuk bina 31 buah sekolah di Sarawak. Sudahnya satu sen pun tak keluar.

“Dahulu ada satu pertemuan dengan Menteri Kewangan, saya mohon pada Anwar untuk naikkan peruntukan projek kecil luar bandar dari RM150,000 kepada RM500,000 untuk ahli-ahli Parlimen Sarawak dan Sabah kerana kami mahu bina lebih lagi infrastruktur seperti titi, jambatan, parit dan sebagainya.

"Anwar kemudian campak fail saya dan kata ‘kita tak boleh beri semua wang kepada Sarawak’. Saya tak minta semua, saya minta naikkan sedikit sahaja,” ceritanya.

Justeru, tegasnya adalah sia-sia usaha Dr Mahathir untuk memujuk rakyat Sarawak berpaling kepada PH selepas kegagalannya memperjuangkan rakyat negeri itu ketika masih berkuasa.

“Orang Melayu dan Cina di Sarawak faham cerita beliau (Dr Mahathir) ini, dia tidak berkata benar.

“Ada orang yang hadir ke ceramahnya pun sekadar mahu dengar apa lagi ‘sampah’ yang keluar dari mulutnya,” ujarnya.

Dilaporkan ribuan penyokong PH dan rakyat setempat membanjiri perkarangan Everrise, BDC di Kuching pada Ahad malam yang turut dihadiri Pengerusi PKR Negeri, Baru Bian, Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara, Dr Hatta Ramli dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.