Kejayaan sekolah swasta Cina di negara ini, bukanlah sesuatu yang terjadi dengan sendirinya, sebaliknya ianya turut disokong oleh usaha kerajaan menyediakan persekitaran yang mampan bagi pertumbuhan ekonomi negara ini.

Ketika berucap merasmikan kampus baru Sekolah Tinggi Huen Cheng, di sini hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejayaan sekolah yang mencecah usia 110 tahun itu berkembang, merupakan satu testamen terhadap kenyataan itu.

“Kejayaan Kuen Cheng High School, mencerminkan kejayaan sendiri sebagai Malaysia sebagai sebuah negara, dan juga mencerminkan kemurahan hati golongan ‘philanthropist’ (dermawan) yang banyak menyumbang kepada sekolah ini

“Semua ini kerana keupayaan kita (Kerajaan BN) mewujudkan suasana yang kondusif untuk kemakmuran dan kemajuan ekonomi,” katanya ketika berucap merasmikan kampus baharu di sekolah itu, di sini hari ini.

Datuk Seri Najib berkata, semenjak beliau mengambil alih pemerintahan eksekutif negara ini pada 2010, banyak indikasi yang memperlihatkan kestabilan ekonomi Malaysia.

“Ketika saya memasuki pejabat pada 2010, stok pasaran (Bursa Saham Kuala Lumpur) hanya sekitar 800 mata…tetapi pada Khamis lepas, ia telah mencecah 1,870 mata, catatan tertinggi sepanjang sejarah. Dalam erti kata lain, setelah sembilan tahun saya menjadi Perdana Menteri, kerajaan telah berjaya menggandakan kekayaan melalui BSKL.

“Selain mencipta hampir dua juta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, dan mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.9 peratus, kita juga berjaya mengelak kemelesetan ekonomi,” katanya ketika merujuk pada suasana ekonomi global tidak menentu pada 2008 dan 2009, di samping kejatuhan harga minyak yang mendadak pada dua tahun lepas.

Di bawah kerajaan pimpinan BN, Datuk Seri Najib berkata, mereka akan terus berusaha mewujudkan suasana persekitaran ekonomi yang kondusif dan stabil, khasnya untuk golongan perniagaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengkritik manifesto populis Pakatan Harapan yang mahu mengkaji semula segala kontrak dan urusan perniagaan dengan China.

“Ia merupakan sesuatu kesilapan yang besar kerana China adalah rakan perdagangan Malaysia terbesar, dengan nilai dagangan sekitar AS$100 bilion setahun. Dan negara China bakal menjadi kuasa ekonomi terbesar negara.

“Mengapa kita mahu menghina Kerajaan China? Itu adalah sesuatu yang sangat bodoh, tidak berfikir panjang, dan seolah-olah menembak kaki kita sendiri,” katanya lagi.

Datuk Seri Najib berkata, masyarakat Cina khususnya perlu mengelakkan diri daripada terperdaya dengan janji-janji pembangkang, apatah lagi yang dilihat mampu memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara.