JUNJUNGAN besar Nabi Muhammad SAW adalah seorang pemuda yang dikenali dengan kejujuran, sehinggakan beliau mendapat gelaran Al-Amin yang bererti ‘orang yang dipercayai’ di kalangan masyarakat Arab Kota Mekah ketika itu.

Tidak ada orang yang boleh dipercayai lebih daripada Muhammad Al-Amin.

Atas sifat kejujuran dan amanah itu, maka Baginda telah dipilih memimpin ekspedisi dagang ke Negara Syam (Syria) dan berdagang barangan kabilah Quraisy milik Saidatina Khadijah binti Khuwalid.

Ketika di Syam, Nabi Muhammad SAW sangat disenangi oleh pedagang Syam atas kejujuran dan kemahiran komunikasi Baginda dalam urusan jual beli.

Cara Baginda yang inovatif dan sikap jujur Baginda berkongsi harga modal barangan, berapa keuntungan yang diinginkan rakan kongsi secara terbuka kepada pembeli, telah menarik ramai pedagang Syam untuk berjual beli dengan Baginda.

Ini ditambah pula dengan kemahiran Baginda berkomunikasi sehinggakan sesiapa sahaja yang berurusan dengan Baginda merasa begitu dihargai.

Atas kejujuran dan sifat amanah mengelola barang dagangan kabilah, Baginda telah memperolehi keuntungan besar yang turut menggembirakan Saidatina Khadijah binti Khuwalid sebagai rakan kongsi.

Ketinggian budi pekerti dan kejujuran Nabi Muhammad SAW membuka hati Saidatina Khadijah menjadi suri hati Nabi Muhammad SAW dan meyakinkan Saidatina Khadijah dengan perjuangan dakwah Islamiyah setelah Baginda di angkat sebagai Rasul untuk mengubah paradigma masyarakat arab jahiliyyah yang telah jauh terpesong dari jiwa kemanusiaan dan nilai ketuhanan.

Rasulullah adalah seorang pemimpin pembina budaya baru dalam masyarakat arab jahiliyyah.

Ketika budaya jahiliyyah sudah mendominasi bangsa arab dan sudah diamalkan secara meluas, Baginda Rasulullah datang untuk mengubah kehidupan bangsa arab menjadi bangsa yang bertamadun.

Ini dilaksanakan dengan pembudayaan ilmu yang diterapkan di kalangan masyarakat Arab sejajar dengan turunnya wahyu pertama kepada Baginda:

“Bacalah dengan nama Tuhanmu, yang menjadikan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu amat mulia, yang mengajarkan dengan pena. Mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (Al-Alaq: 1-5)”

Baginda Rasulullah SAW berpegang dengan penuh keyakinan kepada Allah bahawa dengan ilmu pengetahuan adalah jalan untuk manusia menuju keimanan.

Dengan keimanan di dalam hati akan menerbitkan jiwa kemanusiaan. Jiwa kemanusiaan yang jujur kemudiannya akan membina keamanan dan kemakmuran dalam kehidupan bermasyarakat.

Sifat kejujuran dan ilmu pengetahuan adalah dua ciri yang wajib dalam diri setiap yang bergelar pemimpin. Sebagai pemimpin hendaklah sentiasa berlaku jujur terhadap diri, kepada rakyat dan paling penting jujur dan patuh dalam melaksanakan tanggungjawab pada setiap masa.

Menjadi jujur bermaksud memilih untuk tidak berbohong, mencuri, menyeleweng atau memperdaya orang lain untuk kepentingan diri.

Ketidakjujuran bukan sahaja menyakiti diri sendiri malah akan menyakiti orang lain juga. Jangan sesekali cuba merasionalkan bahawa ketidakjujuran dapat diterima, meskipun orang lain berfikir itu bukanlah masalah mereka.

Kejujuran dalam konteks kenegaraan hari ini dapat dinilai melalui ketinggian integriti seseorang. Integriti adalah kewibawaan untuk berpegang kepada kebenaran pada setiap waktu walaupun kebenaran itu pahit.

Seorang yang berintegriti akan berpegang teguh kepada prinsip kejujuran serta mempunyai prinsip moral yang tinggi.

Dalam erti kata lain, integriti meletakkan prinsip kehidupan seseorang mengikuti satu standard dan kepercayaan yang tinggi pada setiap masa meskipun tiada sesiapa yang memerhati atau mengetahui.

Insan yang berintegriti adalah manusia yang mempunyai nilai ketaqwaan yang tinggi dan bukan sahaja hidup untuk kehidupan malah turut menjadi manusia yang membina kemanusiaan.

Kerajaan Malaysia sudah melewati tempoh sembilan bulan sejak dibentuk dengan pelbagai manifesto perubahan yang menjadi harapan rakyat.

Tertubuhnya kerajaan hari ini adalah atas aspirasi rakyat yang inginkan Malaysia kembali progresif sebagai sebuah negara bangsa yang disegani yang ditadbir oleh pentadbiran yang berintegriti dengan harapan sosio-ekonomi negara dapat kembali pulih.

Rakyat telah menyatakan keyakinan dan memberi mandat kepada pimpinan politik baru untuk mengalih paradigma bangsa dengan naratif mengembalikan Malaysia menjadi sebuah negara yang berwibawa di mata dunia.

Maka sudah tiba masa para pemimpin politik bermuhasabah diri dan melakukan cerminan sesama sendiri.

Sejauh mana kejujuran dan nilai integriti sebagai pemimpin diterjemahkan kepada rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab membina kemakmuran ibu pertiwi? Tepuk dada tanyalah hati.


Mohsein Shariff adalah Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.