Nurul Izzah Anwar disifatkan sudah tahu dan tidak boleh mengambil sambil lewa terhadap undang-undang dan peraturan di Dewan Rakyat yang harus dipatuhi semua ahlinya.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, pihaknya bagaimanapun tidak mempunyai sebarang rancangan untuk membentang usul menyekat Ahli Parlimen Lembah Pantai tersebut daripada terus berada di Parlimen.

"Kita tidak ada rancangan untuk buat begitu sebab dia kini sudah boleh diambil tindakan undang-undang.

"Laporan juga sudah dibuat, jadi isu mengenainya sudah terkeluar daripada hal Parlimen," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahrir mengulas kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang yang memberitahu, tiada istilah kekebalan jika mana-mana anggota Parlimen mengeluarkan kenyataan berhubung kait isu hasutan semasa berhujah di dalam persidangan Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

BACA: Tiada istilah kekebalan pada anggota Parlimen langgar undang-undang - Abu Zahar

Tegasnya, setiap anggota Parlimen tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang dianggap sensitif kerana perkara seumpama itu hanya akan menyebabkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam pada itu katanya, aduan awam juga sudah dibuat dan Nurul Izzah juga seharusnya sudah mengetahui had yang ada padanya semasa di Parlimen.

"Semua Ahli Parlimen tahu tentang ini. Ada Ahli Parlimen yang pernah didakwa mengenai isu ini sebelum ini.

"Dia (Nurul Izzah) perlu tahu apa yang diucapkannya di Parlimen, dia tidak boleh buat tidak tahu," tegasnya.

BACA: Pembangkang dibidas canang maklumat tidak tepat penahanan Nurul Izzah

Di bawah Seksyen 36(8), anggota Parlimen dalam perbahasan mereka adalah dilarang menyentuh kelakuan atau sifat Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertua Negeri atau hakim-hakim dan lain-lain orang yang menjalankan keadilan mahkamah atau ahli Majlis Pasukan Bersenjata.