Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan tindakan keluar parti bukan perkara yang baru.

Sebaliknya, beliau berkata, isu keluar parti telah lama berlaku dengan mengambil contoh bekas Presiden UMNO sebelum ini juga pernah keluar parti.

"Tidak mengapa. Itu keputusan peribadi mereka. Malah, dulu pun bukan setakat Jawatankuasa Pemuda, bekas Presiden (UMNO) pun telah keluar parti. Jadi masuk keluar parti bukan perkara baru," katanya selepas merasmikan pelancaran pasukan dan Persatuan Ski Malaysia di sini, hari ini.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan perletakan jawatan dua ahli jawatankuasa (AJK) Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tenggara susulan hilang kepercayaan kepada kepimpinan Presiden Datuk Seri Najib Razak selepas pengguguran bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Kabinet.

Pada 1951, Pengasas UMNO Datuk Onn Jaafar turut mengumumkan keluar UMNO pada persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam UMNO dan menubuhkan Parti Negara pada 1954 bagi menggantikan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).

Selain Onn Jaafar, pada 19 Mei 2008, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengumumkan keluar UMNO.

Mengulas gesaan beberapa perwakilan bahagian UMNO yang mahu penjelasan lanjut berkenaan krisis yang dihadapi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Khairy berkata, Pemuda UMNO tegas dengan pendiriannya yang mahukan siasatan tersebut diteruskan dan dipercepatkan.

"Kita kena tunggu hasil siasatan Jawatankuasa Khas, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jabatan Audit Negara sebelum penjelasan lanjut dibuat.

"Kita sudah buat penjelasan setakat mana mampu tetapi apa yang kita tunggu adalah hasil siasatan tersebut. Setelah hasil siasatan itu dikemukakan kepada orang ramai, barulah kita dapat gambaran yang lebih jelas dan mengesahkan apa sahaja yang disiasat itu betul.

"Sebelum proses siasatan itu dapat ditamatkan, agak sukar untuk kita membuat sebarang komen," katanya..

Justeru, Khairy berkata, sebarang penjelasan di peringkat akar umbi hanya dapat dibuat secara menyeluruh apabila adanya kepastian daripada siasatan tersebut.

Berhubung rombakan Kabinet, Khairy berkata beliau berharap saf kepimpinan yang baru dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan menunaikan janji parti kepada rakyat.

"Saya berpendirian seperti mana kenyataan yang dikeluarkan Pemuda UMNO. Kita akur dengan keputusan Perdana Menteri dan ini adalah hak mutlak beliau (Najib) untuk menentukan barisan jemaah menteri.

"Harapan pemuda, barisan kabinet ini boleh melaksanakan tugas (dengan) amanah, dengan baik. Buktikan kepada rakyat bahawa kita dapat menunaikan program ataupun janji yang telah kita buat.

"Lihat secara positif rombakan kabinet dan sesuatu yang positif kepada kerajaan," katanya.