Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak berharap kemenangan BN di Sarawak mampu memberi nafas baru kepada kekuatan BN di negeri lain.

Ia termasuk usaha untuk menjamin kejayaan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar dan seterusnya pada Pilihan Raya Umum ke-14.

"Kita juga ambil maklum faktor yang menyumbang kepada kejayaan BN Sarawak supaya ia menjadi panduan kepada negeri lain, macam mana mereka buat persiapan sehingga berjaya," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.


Tambahnya, jentera di semua bahagian dan peti undi telah bersiap sedia serta digerakkan bagi memastikan kemenangan parti pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar nanti.

"Seperti biasa amalan kita Timbalan Perdana Menteri akan ketuai jentera dibantu Naib Presiden dan pemimpin tertinggi UMNO. Manakala, Pengarah PRK Kuala Kangsar diketuai Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Pengarah PRK Sungai Besar ialah Datuk Seri Noh Omar," katanya lagi.

Kerusi Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak kosong berikutan dua penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh PRK kedua-dua kawasan dijalankan serentak pada 18 Jun nanti.