Kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia bukti pentingnya calon anak tempatan, ujar Halimey Abu Bakar.

Jelasnya, isu anak tempatan di DUN itu menjadi antara topik paling hangat sepanjang 21 hari kempen PRK Seri Setia.

“Calon anak tempatan ini menjadi isu hangat oleh calon lawan kita. Harus diingat pentingnya anak tempatan. Saya sudah mengenali penduduk dan dibesarkan di situ. Saya juga pernah jadi ahli MBPJ , 10 tahun di situ,” katanya dalam sidang media selepas diumum menang PRK Seri Setia di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Sivik MBPJ di sini hari ini.

Katanya, perkara pertama yang akan dilakukannya selepas ini ialah menambah baik pusat khidmat masyarakat di Seri Setia.

“Pusat khidmat yang mana ada sekarang ini akan ditambah baik di Seri Setia.

Pada masa sama isu di PPR Lembah Subang , saya akan bincang dengan exco negeri untuk melihat masalah di kawasan itu,” ujarnya.

Halimey memperoleh 13,725 undi manakala pesaingnya, calon Pas Dr Halimah Ali mendapat 9,698 undi pada PRK Seri Setia.