Anggota Parlimen Port Dickson yang baru dipilih Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau percaya semangat muafakat yang dipamerkan dalam Pakatan Harapan telah membawa kepada kepada kemenangan dengan majoriti di luar jangkaan serta mandat yang besar pada Pilihan Raya Kecil parlimen berkenaan.

Keputusan itu juga menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 70 peratus undi popular mengatasi 48 peratus yang pernah dicapai pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu di kawasan parlimen yang sama, katanya.

"Sekarang kita dapat menawan keyakinan semua kaum, di kawasan majoriti Melayu, di kawasan majoriti Cina, majoriti India dan kelompok kecil masyarakat (Orang) Asli memihak kepada kita.

"Di dua kawasan Dewan Undangan Negeri dalam kawasan Parlimen Port Dickson (Bagan Pinang dan Linggi) yang sebelum ini kita tewas pada PRU pun kita menang bergaya, ada beberapa kawasan yang diperhatikan dulu kawasan majoriti Melayu agak kalah tipis kali ini ditawan dengan majoriti yang besar," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH bagi PRK Port Dickson selepas diumumkan sebagai pemenang di sini, malam tadi.

Pada PRK itu, Anwar diumumkan menang dengan majoriti 23,560 undi menewaskan enam pencabarnya.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, undi daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia yang sebelum ini kurang memihak kepada PH juga kini berubah apabila menyaksikan lonjakan hampir 122 peratus berbanding apa yang diperoleh pada pilihan raya umum lepas.

"Tentunya saya ingin memulangkan rasa penghargaan kepada pengundi Port Dickson, satu kawasan parlimen yang baharu kepada saya dan saya amat terkesan dengan dokongan ini, saya hanya boleh janjikan kita akan buat sebaiknya untuk Port Dickson," katanya.

Susulan keputusan itu beliau telah menghubungi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memaklumkan berita gembira itu.

"Perdana Menteri berasa bangga dengan keputusan yang diperolehi," katanya.

"Saya juga menzahirkan terima kasih dan penghargaan kepada beliau, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), Amanah (Parti Amanah Negara) dan DAP selain Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) yang turut turun padang membantu kempen walaupun beliau tidak sihat," kata Anwar.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana proses pilihan raya kecil itu berjalan lancar dan merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera PH yang membantu kemenangannya.

Sementara itu, Anwar berkata beliau akan mengangkat sumpah sebagai anggota parlimen pada Isnin ini dan berikrar untuk membawa perubahan dalam institusi itu bersama-sama dengan anggota parlimen yang lain.

"Saya akan terus berkhidmat sebagai anggota parlimen dan bantu rakan-rakan terutama anggota parlimen senior seperti Lim Kit Siang untuk membuat reformasi di parlimen dan mengadakan forum dan perbincangan dengan menteri secara tersusun dan berkala," katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

-- BERNAMA